Monday, 3 December 2012

Serupa Sama Duplicate...

Rizqin sungguh pandai meniru bunyi dan aksi. Pernah suatu ketika sewaktu dalam perjalanan kami ke Pekan Batang Kali, Rizqin tiba-tiba meniru bunyi lori jual tilam.

Brit, brit, brit, brit...tilam-tilam, tilam lama tukar baru. Brit, brit, brit, brit...Tilam-tilam, tilam lama tukar baru. Ketawa kami berdekah-dekah dengar sebutan si Rizqin. Bunyi hon lori dari mulutnya tu yang buat kami tak tahan dengar. Sama macam lori jual tilam. Berkali-kali yayah suruh dia ulang. Ha, ha, ha kelakarnya. Tergelak sampai rasa nak pecah perut dibuatnya. Rizqin kata bunyi Brit, brit, brit, brit nya sama macam apa yang dia dengar di rumah Opah, rumah kami dan rumah Atok. Lagi la kita orang gelak. Pandai anak mama!.

Ini pula kisah sewaktu umurnya setahun. Sedang dia duduk menjenguk-jenguk ke tingkap sambil memerhatikan kereta lalu-lalang, tiba-tiba siren berbunyi. Apalagi terkejut Rizqin dibuatnya. Berlari-lari si anak kecil ini mendapatkan Opah dan Atuknya. Tak tentu hala dia mencari mereka. Rupa-rupanya atok di bilik air dan Opah sedang sembahyang di dalam bilik. Tiada siapa pun di ruang tamu. Menangis Rizqin terkejut dengar bunyi siren.

Tapi itu kisah dua tahun lalu, kini dia tidak lagi takut apabila mendengar bunyi siren van nyamuk Kementerian Kesihatan. Eng, eng, eng..... Disebutnya INI ADA SATU PENGUMUMAN. Assalammualaikum dan salam sejahtera. Sila pastikan pintu rumah anda ditutup. Makanan dan minuman anda ditutup. Sebentar lagi kami akan menyembur nyamuk. Pergh..pandai betul si Rizqin bagi announcement.

Dulu dia takut bila dengar bunyi dril. Sebab yayah suka takut-takutkan dia. Kasihan Rizqin. Tapi kini dia tak takut lagi. Berani! Enggg, engggg, enggg...Siap tangan umpama mendril. Kadang-kadang diambilnya dril yayah dan didril ke dinding atau pintu stor.  Hebat! Si adik pula, apa abangnya buat, dia pun buat jugak. Tiru aksi abangnya 100%. Samakan, samakan abang!

Dia Tidak Seperti Dulu...

Pada 21 September 2012 (Jumaat), Opah dan Pak Su Syafiq telah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan Fardu Haji. Selama 47 hari mereka berada di Mekah dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 November 2012. Ini adalah kali kedua Opah menunaikan fardu haji dan kali ini pula ditemani oleh Pak Su Syafiq yang pertama kali menunaikan haji. Kali pertama Opah dan Atok menunaikan fardu haji adalah pada tahun 2000. Alhamdulillah, syukur mereka dapat ke Tanah Suci sekali lagi. 

Sepanjang ketiadaan Opah, atok la yang menjaga dua orang cucunya ini. Mama juga turut mengambil cuti dua hari dalam seminggu untuk bergilir-gilir menjaga anak-anak. Begitu juga Aunty Ja dan yayah. Kami sama-sama berkorban dan bantu-membantu dalam pelbagai perkara. Sebagai ibu bapa perkara yang meresahkan kami semasa ketiadaan Opah ialah Nur Syifa. Bolehkah Nur Syifa dijaga tanpa Opah? Kerana sebelum ini Syifa setiap masa berkepit dengan Opah je. Aduh, macam mana ni??? 

Syukur, Syifa tidak lagi menangis-nangis macam selalu. Berbeza sungguh perangai Nur Syifa sepanjang atok menjaganya. Kalau dulu bila mama dan yayah keluar bekerja, Syifa pasti menangis. Nak ikut mama! nak ikut mama! Berguling-guling di atas lantai sehingga menghempas-hempaskan badannya. Kalau didukung dia akan mengeraskan badan untuk melepaskan dirinya. Sampai bengkak-bengkak matanya menangis. Serba tak kena. Dipujuk tak nak dan kadangkala kami tak tahu apa sebenarnya yang dia mahukan. Alhamdulillah doa Opah di hadapan Kaabah dimakbulkan Allah. Syifa kini lebih tenang. Syukur kepadaMu, Ya Allah.

Bila mama pergi kerja, Syifa akan hantar mama ke muka pintu dan melambai-lambaikan tangannya sambil berkata Bye-bye mama! Bye-bye mama!. Stail melambai, tangannya digerakkan sedikit saja. Comel sungguh bila melihatkan tangannya melambai. Cutenya Syifa!. Ceria wajahnya. Terus dia berlari masuk ke rumah dan sambung menonton kartun di Channel 616 Cartoon Network, Oggy and Cockroaches.

Tapi, ada tapinya...sebaliknya bila Rizqin hantar mama ke muka pintu, dia pula yang mengada-ngada. Nak ikut mama! Nak ikut mama!. Dan dia sendiri akan berkata Mama kerja, cari duit beli mainan. Mama kerja, cari duit beli mainan. Nanti gaji mama beli mainan ya? Ya...nanti gaji mama beli, janji mama. Rizqin nak lori pasir, nak lori trailer, nak lori siput, nak lori korek tanah. Ishh... macam-macam Rizqin nak! kata Rizqin. Ternyata Rizqin memang bijak bercakap dan pandai memujuk hatinya.

Menarik untuk kita kongsikan bersama :
Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda :
Janganlah kamu pukul anak-anak kamu disebabkan mereka menangis dalam masa setahun.
Kerana pada empat bulan pertama kelahirannya Ia bersyahadat LAA ILAAHA ILLALLAH. Pada empat bulan kedua pula ia berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dan pada empat bulan seterusnya pula ia mendoakan kedua ayah bonda nya. ( H.R. Abdullah Ibnu Umar r.a. )

Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa tangisan anak di waktu kecil pada bulan pertama adalah tanda ia bertauhid kepada Tuhan Nya dan empat bulan kedua pula ia membacakan selawat kepada Nabi nya dan empat bulan seterus nya ia memohon istighfar untuk kedua ayah bondanya.

Bersabda Baginda Rasulullah s.a.w. :
Anak-anak sebelum sampai ia baligh maka apa-apa yang di perbuat nya daripada kebaikan maka di tuliskan untuknya dan kedua ibu bapanya. Dan apa yang diperbuat nya daripada kejahatan maka tiadalah ditulis untuknya dan tidak pula di tulis untuk kedua ibu bapa nya. Apabila ia telah baligh maka berlakulah yang ditulis itu atasnya iaitu segala amal baik atau buruknya. ~* ( H.R.Imam Anas bin Malik r.a.).

Tuesday, 30 October 2012

Rajin Adik Rajin...

Syifa sememangnya anak yang boleh diharap. Buktinya, bila atok suruh Rizqin ambil barang, Syifa yang akan bergegas berlari mendapatkan barang yang disuruh. Rizqin kalau disuruh, dia akan tanya mana? mana? mana?. Padahal barang tersebut ada disebelahnya. Syifa juga la yang pantas berlari, pergi ambil. Apa sahaja arahan, Syifa turuti. Patuh.

Syifa juga adalah anak yang rajin membantu mama mengemas. Bukan setakat mengemas mainan malah mengemas rumah. Si manja yayah ini akan pastikan semua peralatan seperti jip, kuda, stool, kereta control, meja IKEA disimpan rapi dan tersusun. Jika hendak keluar rumah pula, Syifa akan simpan semua permainan dan pastikan rumah dalam keadaan kemas termasuklah kusyen-kusyen yang ada di lantai. Habis disusunnya bantal-bantal kusyen dan diletakkan semula di atas sofa. 

Ditangannya juga akan ada kain pengelap basahan untuk dilap habuk-habuk pada almari, kabinet TV dan sofa. Kain pengelap kering pula, akan digunakan untuk mengeringkan pinggan mangkuk dan cawan TUPPERWARE . Rajin sungguh anak dara yayah ini. Kata Opah, Syifa suka membantunya melipat kain. Dia akan tolong Opah angkat kain jemuran dan letakkan di depan TV untuk segera dilipat. Terkedek-kedek Syifa berlari membawa kain, letak dan berpatah semula, sehingga kain selesai diangkat. 

Aunty Ja juga kagum dengan Syifa yang rajin. Disuruhnya ambil remote ASTRO, handphone, buang plastik gula-gula semua segera dibuatnya. Cepat dan pantas. Ada yang berpendapat, sikap rajin anak perempuan itu dipengaruhi oleh kerajinan bapanya. Betul ke? Rasanya betul sebab yayah memang seorang ayah/suami yang rajin membantu mama melakukan kerja-kerja rumah. Yayah seorang yang pembersih dan mahukan smart homenya sentiasa kemas, bersih, selesa, cantik dan serba lengkap. Jangan risau yayah...sehingga kini SMART HOME  kita masih di Ranking No.1. Cayalah!

Monday, 22 October 2012

Jangan Sepah-Sepahkan Rumah Kita

Sebelum masuk tidur, anak-anak akan kemaskan semua permainan dan simpan di dalam stor. Cuma mainan yang hendak dibawa ke rumah atok akan diletakkan di atas meja makan untuk dibawa pada keesokkan paginya. Selagi tak kemas, tak boleh naik tidur! Alhamdulillah, sehingga kini anak-anak patuh pada arahan dan tahu tiap kali hendak masuk tidur, mainan perlu dikemaskan. Mereka juga tahu mainan-mainan besar seperti basikal, kereta, jip perlu masuk parking. Cewah...dah macam amalan persekitaran 5S pulak. 

Bila ada tetamu datang khususnya yang membawa anak-anak, stor permainan ini akan dikunci. Pernah satu ketika, anak saudara yayah datang ke rumah, habis semua mainan kami simpan di dalam stor berkunci. Sebabnya tak nak mainan dipunggah-punggah dan berselerak. 

Malamnya, apabila Rizqin nak main mainan, tiba-tiba Rizqin berlari mendapatkan yayahnya. Alamak, tak boleh bukak, dah rosak!. Kelakar melihatkan aksi Rizqin sambil bahunya terangkat dan tangannya menadah seolah-olah kecewa sangat. Terkejut yayah dengan keluhan anaknya ini. Segera yayah menuruti kehendak anaknya menuju ke stor bawah tangga.

Tersenyum yayah. Pura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku. Nanti yayah dril, nanti yayah dril, kata yayah. Sehingga hari ini, apabila nak buka stor, yayah akan berpura-pura menggunakan drill untuk membuka pintu. Padahal ditangannya terselit kunci stor dan drill. Tak baik menipu budak...

Tuesday, 7 August 2012

Cucu Kena Marah-Part 2

DULU ...., Kalau budak berdua tu kena marah. Tak berani dia orang angkat muka. Tunduk je. Lepas tu, Rizqin kata pada opah, Opah marah ke? marah? Terus Opah tak jadi nak marah. Sebab Rizqin pandai ambil hati orang. Pandai pujuk orang. Bijak bercakap. Syifa pula, bila orang marah tak boleh itu ini, dia ucapkan terima kasih. Terima kasih Opah. Sambil melentok-lentokkan kepalanya. Sekali lagi, tak jadi marah. Sebab Syifa pandai sejukkan hati orang. Dia kecil tapi bijak bercakap. Comel dan keletah sungguh anak-anak kami. Sayang cucu opah. Sayang cucu atok!. (Baca ini Part 1)

KINI..., bila kena marah anak-anak berdua ini akan kata “Opah, opah, jangan marah ye! jangan marah ye! jangan marah!!! Sambil aksi tangan macam suruh BERTENANG-BERTENANG. Kelakar bila melihatkan aksi mereka dua beradik ni. Jadinya, anak-anak dah bagi isyarat awal supaya kita kawal diri, kawal perasaan supaya jangan marah- marah, redakan hati dan bawa bersabar. Ingat...SABAR ITU SEPARUH DARI IMAN. 

Jika seseorang datang membuat kita marah, maka dia adalah "guru" yang hendak mengajar kita erti sabar.

Sedekah di bulan Ramadhan

Walau pun perut telah kenyang berbuka puasa, lepas terawikh masih nak makan lagi. Lantas Aunty Ja terus mendail 1-300-888-333 talian hello, Domino’s. Best ni, ada orang nak belanja makan!!! 

Domino’s, Domino’s… Rizqin berlari ke pintu apabila terdengar ketukan Domino’s dah sampai. Malam itu, Aunty Ja belanja dua regular pizza iaitu Tuna Temptation dan Aloha Chicken. Kegemaran Rizqin turut tidak dilupakan, lasagna satu kotak khas untuk Rizqin. Wah, sedapnya makan. Habis satu kotak lasagna, Rizqin makan. Kenyangnya, kenyangnya sambil mengusap-usap perutnya yang dah penuh.

Bila dah selesai makan, Aunty Ja bertanya pada Rizqin.
Aunty Ja           :           Siapa belanja ni Rizqin?
Anak kami yang sememangnya seorang yang bijak, petah dan keletah dengan selambanya menjawab.
Rizqin                :           Orang hantar.
Aunty Ja           :           Siapa belanja ni Rizqin?
Rizqin               :           Orang hantar.

Betul la jawapan Rizqin, orang hantar. Dalam hati kami semua, mesti Rizqin fikir orang Domino’s tu sedekah makanan. Lebih-lebih lagi kita digalakkan bersedekah di bulan Ramadhan, dapat pahala. Tergelak kami semua. Cerdik dan pintar la anak mama ini.
 
Sedapnya... Aunty Ja belanja 



Esoknya, ketika bersahur Rizqin nakkan lasagnanya. Hai, kan dah habis makan malam tadi. Suka benar Rizqin dengan keju, apa tidaknya dari dalam perut mama lagi Rizqin dah makan keju.

Kegemaran Rizqin LASAGNA...

Wednesday, 1 August 2012

Si KIKO Yayah vs Si JERSEY Mama...

Syifa amat meminati brand KIKO. Walaupun berada di rumah, baju KIKO / BABY KIKO sahaja yang mahu dipakainya. Sudahnya baju yang dikhaskan untuk berjalan telah dipakai di rumah. Itulah baju untuk berjalan dan itu jugalah baju di rumah. Syifa, Syifa... Mungkin sebab pakai cantik sangat bila berada di rumah, Tok Din jiran kami yang baik hati akan menyapa, Syifa nak pergi jalan ke?. Nak pergi orang kahwin, jawab Syifa selamba.

Hanya KIKO kesukaan Syifa. Di belek-belek bajunya melihatkan tulisan warna-warni KIKO. Sebabnya si kecil yayah ini tahu baju KIKO branded dan dibeli di SogoKL. Bertambah seronok lagi, baju KIKO turut digayakan oleh anak-anak selebriti Fesyenista Baby KIKO. Memang cantik dan comel melihat Syifa menggayakan top to toe semuanya brand KIKO. Headband, gaun, jeans, skirt, tshirt, kemeja, panties, stokin dan kasut semuanya set KIKO.  Begitu juga dengan Rizqin yang turut mengenakan brand KIKO tetapi hanya untuk dipakai berjalan sahaja. Bila dah smart, kacak dan bergaya, ayat yang terpacul keluar dari bibir mama...kitakan anak orang kaya. (Astaghfirullahhal’azim riaknya). Dan selalunya yayah akan betulkan, anak orang senang. Alhamdulillah syukur.

Kini, apabila umur si KIKO yayah menjangkau 1 tahun 8 bulan, baju girl-girl ni dia dah tak mahu pakai. Dia lebih suka pakai baju abangnya. Hanya baju abang sahaja yang dia mahu. Bila bergaya, cantik tak disebutnya, encem-encem yang sering disebut. Apa saja baju abangnya, semua dia nak pakai. Kadang-kadang sampai berlapis-lapis baju dipakainya. Encem, encem. 

Bila mama kata Syifa cantik macam Mei Mei siri Upin & Ipin, dia akan kata Mail, Mail. Nak jadi macam Mail ke? Tak nak cantik macam Mei Mei, soal mama? Mail juga tetap disebutnya. Untuk elakkan mereka berebut, lepas mandi, masa nak pakai baju, Syifa kena bersiap dulu. Sorokkan dulu baju Rizqin dan kemudian baru Rizqin boleh berbaju.  Terutamanya JERSEY bola yang Pak Su beli untuk Rizqin, sibuk direbutnya. Nanti Acu beli untuk Syifa, janji Pak Su. Tak mahunya, tetap berkeras mahukan jersey abangnya, kalau tak Syifa mengamuk nanti. Baju jersey yang sering menjadi rebutan Syifa : 



 KIKO yayah vs JERSEY mama
Queens Park Rangers
Manchester United
Chelsea
Malaysia