Thursday, 13 March 2014

Si kecil yang suka menyakat

Syifa anak yang suka menyakat mama. Dia tahu mama takut bila dia meyebut Ya Marabbuka? Cepat-cepat mama tutup mulut dia. Suka benar dia bila lihat mama ketakutan. Kadang-kadang dia mengusik mama dengan menyebut Ya...ya... cepat-cepat mama tutup mulut dia. Kemudian disebut lagi ya... ya..ya hanana, yahanana. Dengar perkataan Ya je mama dah mula takut. Pandai dia tipu-tipu mama. 

Kalau tak dapat tutup mulut dia, mama akan tutup telinga mama. Seronok betul dia menyakat mama. Jangan la Syifa, mama takut. Mama tak nak kawan Syifa. Lepas tu, Syifa cepat-cepat minta maaf. Syifa minta maaf mama, Syifa tak sengaja, rayu Syifa. Syahdu bila dengar Syifa mengungkapkan perkataan maaf. Sesiapa jua yang mendengar terus sejuk hati. Syifa, kamu memang bijak bercakap, bijak berlakon, bijak mengajuk dan segala-galanya bijak. Tak tahu dari mana dia dengar perkataan Tak Sengaja tu. Sebutir-sebutir perkataan disebutnya. Kita yang mendengar terus tak jadi nak marah dan segera memaafkannya. Pandai kamu mengusik dan memujuk ya, Syifa! 

Syifa juga suka jegilkan biji matanya. Bulat dan besar mata Syifa. Sengaja dia takut-takutkan mama. Kadang-kadang dia kakukan dirinya macam patung. Tengok ni mama, tengok ni, bulat matanya memandang mama. Jangan la Syifa, jangan la, mama takut. Lagi mama takut, lagi dia suka buat. Sebenarnya tak takut pun, saja bergurau manja dengan si kecik mama, Nur Syifa Rizqin. Tapi sebenarnya dia percaya yang mama takut. 

Dulu masa kecil Syifa cukup suka cium rambut Rizqin. Wangi. Lepas tu dia kelekuk kepala Rizqin dengan dua batang gigi kapaknya. Kesian Rizqin. Suka benar kamu menyakat orang ya! Kadang-kadang dia sorok cicak dibelakangnya... mama tengok ni, tak ada cicak. Tadaaaa...ini dia cicak! Terperanjat mama!!! Syifa, Syifa...tak padan dengan kecik, berani, garang dan bijak.

Tuesday, 11 March 2014

Beg Transformers Saya - Part 2

Dari pukul 7.00 malam mama mencari beg sekolah Rizqin. Mana pulak atok letak ni? Tak ada pun dalam bilik. Di segenap penjuru rumah mama cari beg Rizqin. Beg Rizqin tak ada. Bila ditanya mana beg sekolah Rizqin, dengan selambanya dia jawab Rizqin tak tahu mama. Sah ini mesti tertinggal kat bawah ni. Pelbagai andaian dibuat. Kalau beg hilang ada tertera nama, alamat rumah, sekolah dan no. telefon rumah. Balik sekolah jam 12.00 tengahari, ini dah pukul 9.00 malam tak ada pun orang pulangkan beg Rizqin. Itu kalau orang nak pulangkan, tapi kalau dia berkenan alamatnya hilanglah Beg Transformers Rizqin. Beg sekolah masih belum dijumpai, lagi lambat la nak siapkan kerja rumah.

Selesai atok bersolat jemaah di surau, mama terus bagitahu atok, beg sekolah Rizqin tak ada. Puas dicari tapi tak jumpa-jumpa. Terus atok turun bawah, cari di tempat atok parking motor di depan surau. Ha, ada pun Rizqin. Mujur begnya masih ada di kerusi surau. Opah kata, tiga orang iaitu atok, Rizqin dan Syifa boleh lupa nak bawa beg naik ke rumah. Nasib baik tak hilang Beg Transformers. Lain kali beg pikul dibahu, jangan laju je turun dari motor, lari naik rumah, pesan atok pada Rizqin. Rizqin, Rizqin asyik nak cepat je...

Thursday, 6 March 2014

Seronokkan kita pergi...

Kita nak ke mana ni? soal Nur Syifa. Kita nak ke Tesco Bukit Sentosa. Beli barang dapur dan mencari tools box di kedai DIY. Mereka tahu bila mama dan yayahnya dah gaji, boleh beli mainan di Tesco. Sebabnya bila anak-anak nak mainan, kami akan kata tunggu mama dan yayah dapat gaji, baru boleh beli. Seronokkan kita pergi Tesco, kata Nur Syifa. Si kecik ni kalau bawa berjalan-jalan memang dia seronok, apatah lagi masing-masing dapat mainan yang dihajati. Rizqin dengan robot Transformersnya dan Syifa dengan dinosaur dan anak itiknya. Sebenarnya, minggu lepas kami turut ke sini tapi bukanlah nak berbelanja di Tesco cuma semata-mata nak makan sizzling yee mee, rotiboy coffee dan minum cool blog chocolate. 
 
Malamnya pula kami ada agenda lain iaitu nak meraikan birthday yayah. Cadangnya nak makan western food. Tapi tak tahu la restoran mana yang ada menjual menu western food di Batang Kali ni. Buntu. Kalau di KL memang la banyak, nak yang best Fiske steakhouse. Kalau di Batang Kali, restoran seafood memang merata, tapi kalau western ni ada ke? Hati memang nak sangat makan chicken chop atau pun chicken maryland. Lebih-lebih lagi Rizqin, suka sangat makan keju (baca ini). Akhirnya… jeng, jeng, jeng Chick A Licious @ Marrybrown Batang Kali. Kami order Chick A Licious x 2 set + Fish n Chip x 1 set + Tower Burger. Duduk pulak tu di kerusi buai, memang terbuai-buai la kami makan. Suka sangat Rizqin makan salad dilimpahi mayonis dan keju. Katanya, di sekolah Rizqin makan sayur. Makan sayur elok mama,  cikgu kata nanti mata kita cantik. Nanti mama buatla sayur dengan mayonis, Rizqin suka makan sayur, pinta Rizqin. Seronokkan kita pergi Marrybrown, tambah Nur Syifa lagi.
 
Kebetulan semasa nak balik, ternampak car boot sale di JRD Batang Kali. Singgah kejap, macam-macam barang ada dijual. Anak-anak beli bola berlampu padahal baru pagi tadi beli mainan...dapat lagi mainan. Seronokkan kita pergi car boot sale, kata Nur Syifa. Terhibur bila dengar Syifa sebut Seronokkan, sebabnya apa sahaja yang seronok bagi dirinya dia akan ekspresikan. Seharian kami berjalan, tangan balik tak kosong, perut pun kenyang memang la seronok. hahaha.


Thursday, 6 February 2014

Ini Pasti Adik Saya...

Sesampai sahaja kami di rumah atok, atok berkata : Rizqin, nanti ikut atok minum ubat nak? Nak, nak, nak! Seronoknya... excited sungguh si Rizqin. Apa pula tak seronoknya sebab dibawa berjalan, walaupun tempatnya tak la jauh mana pun.  Mereka singgah dulu di kedai untuk membeli gula-gula dan sementara menunggu atok habis minum ubat, Rizqin akan bermain di sebelah atoknya. Sewaktu berjalan pulang, berjumpalah atok dengan kawan suraunya, maka bersembang la mereka.
Kawan Atok    :   Ini cucu Haji ke?
Atok                    : Aah.. cucu.
Kawan Atok   : Adik siapa nama?
Anak kami yang sememangnya seorang yang bijak, petah dan keletah ini pun menjawab dengan penuh keyakinan dan mesra dengan semua orang.
Rizqin                : Nur Syifa
Kawan Atok  : Adik siapa nama?
Rizqin               : Nur Syifa!
Kawan Atok  : Cucu Haji ni lelaki ke perempuan? Dia kata nama dia Nur Syifa.
Atok           : Lelaki. Betul la tu, nama adik dia Nur Syifa. Nama dia Muhammad Syafi Rizqin.
Bila atok balik, diceritakan la kisah ini pada opah. Opah pula bercerita pada kami semua. Kalau ikutkan, soalan yang ditanya. Adik siapa nama? Betul la, jawapan Rizqin, nama adiknya Nur Syifa. Oleh kerana kawan atok, membahasakan diri Rizqin - adik, maka dia sebenarnya bermaksudkan Siapa nama kamu? Kesimpulannya, betul la jawapan Rizqin, pandai dan bijak sungguh si Rizqin ni. Tergelak kami.

Tuesday, 4 February 2014

Selamat Hari Lahir semua...

Januari adalah hari lahir insan-insan yang kami sayangi. (Baca ini). Kami ada hadiah istimewa untuk insan-insan yang diraikan pada bulan ini iaitu atok, yayah dan Aunty Ja. Bertuah sungguh mereka yang lahir awal tahun, mana tak nya masing-masing yang nak memberi hadiah "berduit" dan dapat bonus. Hehehe.

Sempena hari lahir atok, Aunty Ja telah belanja makan di Khan Baba Restaurant. Dah tiga kali kami ke sini dan keenakkan nasi arabnya memang menambat selera kami sekeluarga. (Baca ini). Jeng..jeng..jeng dapat apa tu? Selain dari makan-makan, dah tentu ada hadiah yang special untuk insan-insan yang dirai.Atok kan suka bergaya, jadi Opah hadiahkan atok baju kemeja, Pak Su hadiahkan sepasang baju melayu warna hijau, dan kami hadiahkan atok sepasang baju kemeja brand John Master, Durban dan Alain Delon. Wah, banyaknya baju...dah tentu atok smart bergaya ke majlis kenduri kahwin atau berjemaah di surau.

Birthday Aunty Ja pula, mama belanja makan di Kenny Rogers. Alang-alang kami berdua bershopping sakan sempena Sogo Member Day pada 17 Januari lalu, kami singgah celebrate di Kenny Rogers, Maju Junction. Sedapnya makan Healthy Food Kenny Rogers. Atok turut belanja makan sate dan belanja sekali lagi makan sate di Sate Samuri, Medan Mara pula. Wah..dua kali belanja, tapi kali ini beli bungkus. 

Yayah pula mama hadiahkan kemeja dan slack John Master gold series tau.. serta beberapa pasang sut untuk ke pejabat. Hensem dan bergaya la abang! Kami sekeluarga raikan birthday yayah di Marry Brown, Batang Kali. Nantikan cerita kami di Marry Brown pula ya. 

Selamat Hari Lahir atok, yayah dan aunty Ja! Semoga panjang umur, sihat tubuh badan, murah rezeki, dan dilindungi Allah swt. AMIN.

Mari Nyanyi Bersama-sama...

Lagu : Pukul 6 pagi
Pukul 6 pagi mesti kita bangun (menggeliat)
Terus gosok gigi, mandi & solat subuh (aksi gosok gigi, bersabun dan bersolat)
Cium tangan ayah (salam dan cium tangan ayah, pusing kanan)
Cium tangan ibu (salam dan cium tangan ibu, pusing kiri)
Terus ambil buku, pergi sekolah
Jalan tepi-tepi, jalan cepat-cepat (aksi briskwalk)
Sampai awal pagi cucikan kelas
Rajin baca buku
Ikut cakap guru

Insyaallah BERJAYA. (Yahoo!)

Lagu : Cacing
Cacing panjang, cacing pendek
Geli-gelinya, geli-gelinya (aksi geli-geleman)
Turun naik atas, turun naik atas
Geli-gelinya, geli-gelinya. 

Balik dari sekolah, Rizqin nyanyi depan opah dan adiknya Nur Syifa. Comel tengok aksi dua beradik ni. Lucu dan menghiburkan. Bila kami suruh Rizqin nyanyi, Syifa yang akan nyanyi. Cepat je Syifa tangkap bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh Rizqin. Siapa yang ke sekolah ni, Syifa atau Rizqin? Bijak..bijak!

Rindu...

Apa erti rindu? Banyak pentafsiran tentang erti rindu. Bila berjauhan terbit rasa rindu. Memandang gambar rasa rindu, mendengar suara jadi rindu, terkenang saat-saat manis jadi rindu, di depan mata pun boleh merindu. Istimewanya rasa rindu. Maha suci Allah yang menciptakan rasa rindu satu perasaan yang sangat indah. Anak-anak kami sering menyebut Rindu.

Syifa : Syifa ...rindu mama, Syifa.. love you mama (merengek dan memeluk erat). 
Syifa :  Syifa ...rindu ayah, Syifa ...love you ayah (merengek dan memeluk erat).                                             
Rizqin : Rizqin rindu mama, Rizqin love you mama (merengek dan memeluk erat).
Rizqin : Rizqin rindu ayah, Rizqin love you ayah (merengek dan memeluk erat).
Pada hal kami berdua sehari suntuk bersama mereka atau kami ada di depan mata mereka. Mereka sering meluahkan rasa Rindu.  

Apa itu rindu? Kisah rindu ini bermula begini... Dalam satu hari berpuluh-puluh kali yayah mencium anak-anaknya. Sambil cium dan memeluk erat anak-anaknya ini, dia akan bertanya.                                                              
Ayah : Syifa sayang ayah?
Syifa : Sayang (angguk)
Ayah : Syifa rindu ayah?
Syifa : Rindu (terus peluk)
Ayah : Syifa cinta ayah?
Syifa : Cinta (cium)
Ayah : Takkan sekali je cium, nak banyak kali. Sini, sini, sini, sini (sambil tunjuk pipi, dagu, dahi, hidung) Yayah kata bukan senang nak cium Syifa. Dia bagi sikit je pipinya. Kalau dah dapat yayah takkan lepaskan. Lemas Syifa diciumnya. 
Ayah : Syafi sayang ayah?
Syafi : Sayang (angguk)
Ayah : Syafi rindu ayah?
Syafi : Rindu (terus peluk dan tangan menepuk-nepuk belakang badan yayah)
Ayah : Hidungnya, hidungnya. ayah nak cium hidung Syafi. Mulut, mulutnya ayah nak bau nafas Syafi.

Apa sebenarnya erti Rindu bagi mereka? Bila mereka menginginkan sesuatu, mereka akan sebut perkataan RINDU dengan nada sendu dan syahdu. Nak mama, nak mama. Nak ayah, nak ayah. Sebetulnya mengada-ngada namanya. Tapi bila kami balik dari kerja, mereka berlari mendapatkan kami di muka pintu dan berkata Syifa rindu mama, Syifa rindu ayah. Rizqin rindu mama, Rizqin rindu ayah. Itu bukan mengada-ngada namanya. Itu adalah perasaan rindu yang sebenarnya. Rindu kerana kami tinggalkan mereka 9 jam sehari demi tuntutan kerja. Mereka rindu kami. Kami juga rindukan mereka.