Friday 8 November 2013

Apa dah jadi si KIKO mama?

Ingat tak mama pernah cerita Syifa suka baju abangnya Rizqin?(Baca ini). Kiranya dia suka pakaian lelaki, girl-girl ni dia tak berapa gemar. Walaupun bajunya cantik like a princess, gaun, ribbon, seksi... sikit pun dia tak minat. Minatnya tetap pada baju abangnya Rizqin. Lebih-lebih lagi kalau Rizqin pakai jersi, dia akan jerit suruh Rizqin bukak baju. Demi menuruti kehendak adiknya, Rizqin beralah. Biar lah dirinya tidak berbaju,sekadar memakai pampers asalkan kehendak adiknya dituruti. Walaupun kami terangkan pada Syifa, baju abangnya busuk, kotor, peluh, basah, muntah, ada taik sekalipun (tipu-tipu) dia tetap nak pakai baju abangnya. 

Sungguh pun Rizqin ini baru berumur 3 tahun 10 bulan, bila dia bercakap dan tindakannya menampakkan dirinya seorang abang yang penyabar. Jangan marah dia mama, jangan marah dia...tak apa Rizqin faham. Begitu juga mainan, segala mainan baru yang dibeli untuk Rizqin akan dirasmikan oleh Syifa dahulu. Pada hal masing-masing dah ada mainan sendiri. Rizqin faham apabila kami katakan padanya adik pinjam sekejap, nanti Rizqin main ya! Dia akur dan menuruti arahan kami. Kalau kami marahkan Syifa atas kesalahan yang Syifa lakukan, Rizqin cepat-cepat berkata Jangan marah dia mama, jangan marah dia mama, dia tak salah, dia tak salah.

Pelindung? Ya, dia memang seorang pelindung kepada adiknya Syifa. Buktinya, jika adiknya mahu naik kereta  mainan yang sedang dinaiki oleh budak lain, Rizqin akan kata pada budak itu, Kamu dah besar, bagi dia main. Bangunlah budak tadi dan terus Rizqin beri kereta mainan kepada adiknya Syifa. Syifa pulak kalau pergi kedai dia mesti ingat abangnya Rizqin. Beli barang satu untuknya dan satu untuk Rizqin. Dia tak pernah lupa belikan coklat, gula-gula, aiskrim, buih belon, keropok, mainan untuk abangnya. Bila kami tanya Syifa sayang abang? Sayang....sambil melentok-lentokkan kepalanya.