Wednesday 5 December 2012

Rajuk Si Anak Kecil...

Sejak kebelakangan ini, anak-anak suka sangat merajuk. Ala sengaja dibuat-buatnya merajuk tu. Konon-konon memencilkan diri dan nak dipujuk-pujuk macam baby. Tapi tak apalah sayang, sebab mama pun memang layan anak-anak macam baby. Bila seorang dah merajuk, seorang lagi akan ikut merajuk. 

Syifa bila merajuk, dia terus berlari terkedek-kedek ke dapur atau Taman Syafi. Tunggu di situ sehinggalah mama datang memujuknya. Selagi mama tak datang memujuk, selagi itulah dia akan diam di situ. Begitu juga dengan Rizqin. Bila merajuk lari ke bawah meja makan. Tunggu di situ sehinggalah mama datang memujuknya. Kadang-kadang sengaja mama menyakat mereka berdua sebabnya, comel sangat bila tengok wajah mereka merajuk. Pandai sungguh mereka mengekspresikan emosi.

Pernah pada suatu pagi, sewaktu kami sedang duduk berehat sambil makan roti gardenia dan minum air milo kotak di hadapan bangunan pejabat jualan Panorama Alam Tropika, tiba-tiba Syifa berlari. Entah kenapa dia menjauhkan diri dari kami. Mama dan Rizqin mengejarnya dan menjerit-jerit memanggil Syifa! Syifa! Tunggu mama, sayang! Tunggu mama! Rizqin juga menjerit memanggil adiknya. Syifa terus berlari terkedek-kedek tanpa menoleh ke belakang. Larian Syifa terhenti apabila dia terkejut melihat ada bikers berehat di bawah pokok. Mujur ada orang di situ. Terhenti lariannya sebab dia takut dengan orang yang tidak dikenalinya. Segera dia menoleh ke belakang dan berpatah balik. Rupa-rupanya dia merajuk sebab hadiah robot telur mama berikan pada abangnya. Ala, mainan mesin 20 sen / 50sen di kedai runcit tu la, kami gelarkan robot telur. Ish...itu pun nak merajuk.  

Syifa bila kena marah, air matanya akan bergenang. Kemudian menjebik. Jadi kenalah mama pujuk. So....cute. Rizqin pula bila kena marah, dia pun akan menjebik. Mama tengok ni, tengok ni muka Rizqin. Eh, Rizqin jangan la merajuk, mama tak suka la tengok Rizqin merajuk. He..he..he.. tapi sebenarnya mama suka.

Kelakar la keletah anak-anak ini. Bila merajuk dia akan bagi tahu. Terutamanya  Syifa. Aku merajuk ni mama, Aku merajuk ni. Aku? Pengaruh dialog Upin dan Ipin la. Dulu tak ada pun dibahasakan dirinya Aku. Dia guna Saya atau Annur. Kelakarkan? merajuk pun bagi tahu. Aku menangis ni yayah, aku menangis ni. Sambil menunjukkan matanya yang mengalir. Dia mengadu pada yayahnya yang dia sedang menangis dan minta dipujuk. Bila yayah bertanya Kenapa menangis? Siapa buat? Abang buat. Report kat yayah la tu....Syifakan anak manja yayah. Anak dara yayah. 

Begitu juga dengan Rizqin. Mama Iqin merajuk ni. Iqin merajuk mama. La, merajuk ke? Meh, mama pujuk. Tak pasal-pasal dia merajuk. Saje la tu ngada-ngada. Dah, dah... jangan nyakat dia orang, Sayang. Kan dia orang tengah diam. Karang dia orang menangis lagi susah. Sebetulnya memang best nyakat budak-budak kecil ni.

Tapi sejak akhir-akhir ni, bila mama baru mula nak marah, Syifa dengan segera memeluk mama, Sayang mama! Sayang mama! Diciumnya pipi mama berkali-kali. Bijak sungguh dia menyejukkan hati mama. Dia tahu kalau dia buat salah, mama tak jadi nak marah bila dia cepat-cepat cium mama.

Monday 3 December 2012

Serupa Sama Duplicate...

Rizqin sungguh pandai meniru bunyi dan aksi. Pernah suatu ketika sewaktu dalam perjalanan kami ke Pekan Batang Kali, Rizqin tiba-tiba meniru bunyi lori jual tilam.

Brit, brit, brit, brit...tilam-tilam, tilam lama tukar baru. Brit, brit, brit, brit...Tilam-tilam, tilam lama tukar baru. Ketawa kami berdekah-dekah dengar sebutan si Rizqin. Bunyi hon lori dari mulutnya tu yang buat kami tak tahan dengar. Sama macam lori jual tilam. Berkali-kali yayah suruh dia ulang. Ha, ha, ha kelakarnya. Tergelak sampai rasa nak pecah perut dibuatnya. Rizqin kata bunyi Brit, brit, brit, brit nya sama macam apa yang dia dengar di rumah Opah, rumah kami dan rumah Atok. Lagi la kita orang gelak. Pandai anak mama!.

Ini pula kisah sewaktu umurnya setahun. Sedang dia duduk menjenguk-jenguk ke tingkap sambil memerhatikan kereta lalu-lalang, tiba-tiba siren berbunyi. Apalagi terkejut Rizqin dibuatnya. Berlari-lari si anak kecil ini mendapatkan Opah dan Atuknya. Tak tentu hala dia mencari mereka. Rupa-rupanya atok di bilik air dan Opah sedang sembahyang di dalam bilik. Tiada siapa pun di ruang tamu. Menangis Rizqin terkejut dengar bunyi siren.

Tapi itu kisah dua tahun lalu, kini dia tidak lagi takut apabila mendengar bunyi siren van nyamuk Kementerian Kesihatan. Eng, eng, eng..... Disebutnya INI ADA SATU PENGUMUMAN. Assalammualaikum dan salam sejahtera. Sila pastikan pintu rumah anda ditutup. Makanan dan minuman anda ditutup. Sebentar lagi kami akan menyembur nyamuk. Pergh..pandai betul si Rizqin bagi announcement.

Dulu dia takut bila dengar bunyi dril. Sebab yayah suka takut-takutkan dia. Kasihan Rizqin. Tapi kini dia tak takut lagi. Berani! Enggg, engggg, enggg...Siap tangan umpama mendril. Kadang-kadang diambilnya dril yayah dan didril ke dinding atau pintu stor.  Hebat! Si adik pula, apa abangnya buat, dia pun buat jugak. Tiru aksi abangnya 100%. Samakan, samakan abang!

Dia Tidak Seperti Dulu...

Pada 21 September 2012 (Jumaat), Opah dan Pak Su Syafiq telah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan Fardu Haji. Selama 47 hari mereka berada di Mekah dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 November 2012. Ini adalah kali kedua Opah menunaikan fardu haji dan kali ini pula ditemani oleh Pak Su Syafiq yang pertama kali menunaikan haji. Kali pertama Opah dan Atok menunaikan fardu haji adalah pada tahun 2000. Alhamdulillah, syukur mereka dapat ke Tanah Suci sekali lagi. 

Sepanjang ketiadaan Opah, atok la yang menjaga dua orang cucunya ini. Mama juga turut mengambil cuti dua hari dalam seminggu untuk bergilir-gilir menjaga anak-anak. Begitu juga Aunty Ja dan yayah. Kami sama-sama berkorban dan bantu-membantu dalam pelbagai perkara. Sebagai ibu bapa perkara yang meresahkan kami semasa ketiadaan Opah ialah Nur Syifa. Bolehkah Nur Syifa dijaga tanpa Opah? Kerana sebelum ini Syifa setiap masa berkepit dengan Opah je. Aduh, macam mana ni??? 

Syukur, Syifa tidak lagi menangis-nangis macam selalu. Berbeza sungguh perangai Nur Syifa sepanjang atok menjaganya. Kalau dulu bila mama dan yayah keluar bekerja, Syifa pasti menangis. Nak ikut mama! nak ikut mama! Berguling-guling di atas lantai sehingga menghempas-hempaskan badannya. Kalau didukung dia akan mengeraskan badan untuk melepaskan dirinya. Sampai bengkak-bengkak matanya menangis. Serba tak kena. Dipujuk tak nak dan kadangkala kami tak tahu apa sebenarnya yang dia mahukan. Alhamdulillah doa Opah di hadapan Kaabah dimakbulkan Allah. Syifa kini lebih tenang. Syukur kepadaMu, Ya Allah.

Bila mama pergi kerja, Syifa akan hantar mama ke muka pintu dan melambai-lambaikan tangannya sambil berkata Bye-bye mama! Bye-bye mama!. Stail melambai, tangannya digerakkan sedikit saja. Comel sungguh bila melihatkan tangannya melambai. Cutenya Syifa!. Ceria wajahnya. Terus dia berlari masuk ke rumah dan sambung menonton kartun di Channel 616 Cartoon Network, Oggy and Cockroaches.

Tapi, ada tapinya...sebaliknya bila Rizqin hantar mama ke muka pintu, dia pula yang mengada-ngada. Nak ikut mama! Nak ikut mama!. Dan dia sendiri akan berkata Mama kerja, cari duit beli mainan. Mama kerja, cari duit beli mainan. Nanti gaji mama beli mainan ya? Ya...nanti gaji mama beli, janji mama. Rizqin nak lori pasir, nak lori trailer, nak lori siput, nak lori korek tanah. Ishh... macam-macam Rizqin nak! kata Rizqin. Ternyata Rizqin memang bijak bercakap dan pandai memujuk hatinya.

Menarik untuk kita kongsikan bersama :
Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda :
Janganlah kamu pukul anak-anak kamu disebabkan mereka menangis dalam masa setahun.
Kerana pada empat bulan pertama kelahirannya Ia bersyahadat LAA ILAAHA ILLALLAH. Pada empat bulan kedua pula ia berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dan pada empat bulan seterusnya pula ia mendoakan kedua ayah bonda nya. ( H.R. Abdullah Ibnu Umar r.a. )

Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa tangisan anak di waktu kecil pada bulan pertama adalah tanda ia bertauhid kepada Tuhan Nya dan empat bulan kedua pula ia membacakan selawat kepada Nabi nya dan empat bulan seterus nya ia memohon istighfar untuk kedua ayah bondanya.

Bersabda Baginda Rasulullah s.a.w. :
Anak-anak sebelum sampai ia baligh maka apa-apa yang di perbuat nya daripada kebaikan maka di tuliskan untuknya dan kedua ibu bapanya. Dan apa yang diperbuat nya daripada kejahatan maka tiadalah ditulis untuknya dan tidak pula di tulis untuk kedua ibu bapa nya. Apabila ia telah baligh maka berlakulah yang ditulis itu atasnya iaitu segala amal baik atau buruknya. ~* ( H.R.Imam Anas bin Malik r.a.).