Monday 3 December 2012

Dia Tidak Seperti Dulu...

Pada 21 September 2012 (Jumaat), Opah dan Pak Su Syafiq telah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan Fardu Haji. Selama 47 hari mereka berada di Mekah dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 November 2012. Ini adalah kali kedua Opah menunaikan fardu haji dan kali ini pula ditemani oleh Pak Su Syafiq yang pertama kali menunaikan haji. Kali pertama Opah dan Atok menunaikan fardu haji adalah pada tahun 2000. Alhamdulillah, syukur mereka dapat ke Tanah Suci sekali lagi. 

Sepanjang ketiadaan Opah, atok la yang menjaga dua orang cucunya ini. Mama juga turut mengambil cuti dua hari dalam seminggu untuk bergilir-gilir menjaga anak-anak. Begitu juga Aunty Ja dan yayah. Kami sama-sama berkorban dan bantu-membantu dalam pelbagai perkara. Sebagai ibu bapa perkara yang meresahkan kami semasa ketiadaan Opah ialah Nur Syifa. Bolehkah Nur Syifa dijaga tanpa Opah? Kerana sebelum ini Syifa setiap masa berkepit dengan Opah je. Aduh, macam mana ni??? 

Syukur, Syifa tidak lagi menangis-nangis macam selalu. Berbeza sungguh perangai Nur Syifa sepanjang atok menjaganya. Kalau dulu bila mama dan yayah keluar bekerja, Syifa pasti menangis. Nak ikut mama! nak ikut mama! Berguling-guling di atas lantai sehingga menghempas-hempaskan badannya. Kalau didukung dia akan mengeraskan badan untuk melepaskan dirinya. Sampai bengkak-bengkak matanya menangis. Serba tak kena. Dipujuk tak nak dan kadangkala kami tak tahu apa sebenarnya yang dia mahukan. Alhamdulillah doa Opah di hadapan Kaabah dimakbulkan Allah. Syifa kini lebih tenang. Syukur kepadaMu, Ya Allah.

Bila mama pergi kerja, Syifa akan hantar mama ke muka pintu dan melambai-lambaikan tangannya sambil berkata Bye-bye mama! Bye-bye mama!. Stail melambai, tangannya digerakkan sedikit saja. Comel sungguh bila melihatkan tangannya melambai. Cutenya Syifa!. Ceria wajahnya. Terus dia berlari masuk ke rumah dan sambung menonton kartun di Channel 616 Cartoon Network, Oggy and Cockroaches.

Tapi, ada tapinya...sebaliknya bila Rizqin hantar mama ke muka pintu, dia pula yang mengada-ngada. Nak ikut mama! Nak ikut mama!. Dan dia sendiri akan berkata Mama kerja, cari duit beli mainan. Mama kerja, cari duit beli mainan. Nanti gaji mama beli mainan ya? Ya...nanti gaji mama beli, janji mama. Rizqin nak lori pasir, nak lori trailer, nak lori siput, nak lori korek tanah. Ishh... macam-macam Rizqin nak! kata Rizqin. Ternyata Rizqin memang bijak bercakap dan pandai memujuk hatinya.

Menarik untuk kita kongsikan bersama :
Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda :
Janganlah kamu pukul anak-anak kamu disebabkan mereka menangis dalam masa setahun.
Kerana pada empat bulan pertama kelahirannya Ia bersyahadat LAA ILAAHA ILLALLAH. Pada empat bulan kedua pula ia berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dan pada empat bulan seterusnya pula ia mendoakan kedua ayah bonda nya. ( H.R. Abdullah Ibnu Umar r.a. )

Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa tangisan anak di waktu kecil pada bulan pertama adalah tanda ia bertauhid kepada Tuhan Nya dan empat bulan kedua pula ia membacakan selawat kepada Nabi nya dan empat bulan seterus nya ia memohon istighfar untuk kedua ayah bondanya.

Bersabda Baginda Rasulullah s.a.w. :
Anak-anak sebelum sampai ia baligh maka apa-apa yang di perbuat nya daripada kebaikan maka di tuliskan untuknya dan kedua ibu bapanya. Dan apa yang diperbuat nya daripada kejahatan maka tiadalah ditulis untuknya dan tidak pula di tulis untuk kedua ibu bapa nya. Apabila ia telah baligh maka berlakulah yang ditulis itu atasnya iaitu segala amal baik atau buruknya. ~* ( H.R.Imam Anas bin Malik r.a.).

No comments:

Post a Comment