Tuesday 24 April 2012

Pahit itu ubat, pahit itu penawar...

Makan ubat?. Sejak dari kecil lagi mama takut makan ubat. Bila makan ubat mesti ubat muntah keluar. Sebab tu kalau demam, mama hanya minum air penyejuk badan. Tapi hanya cap kaki tiga je boleh diminum, jenama lain tak sedap. Kalau yayah paksa-paksa jugak makan panadol, mama kata nak cortal kanak-kanak perisa oren. Paracetamol ke, active fast ke, soluble ke, Ohh... TIDAK. Kalau demam tak kebah-kebah jugak, nak telan panadol, kena belah dua. Kalau tak mama tak akan makan. Nak habiskan sebelah panadol tu pun sikit punya lama. 

Kadang-kadang ubat tersangkut kat tekak la, rasa melekat kat dalam dada la, sebab tu la ubat muntah keluar. Sayangku, kalau kamu lahir nanti, jangan jadi macam mama tau, takut makan ubat. Seksa. Habis tu, macam mana ni? Mengandung mesti kena makan ubat, desak yayah. Tidak boleh tidak. MESTI. Akhirnya mama akur. Jadi, apakah kebaikan ubat-ubatan dan supplement yang akan mama ambil nanti?  

Maka, untuk mengetahui khasiat dan kepentingannya, selain dari rajin bertanya dengan Dr. Jaafar, mama turut membaca buku panduan kehamilan '40 minggu nan indah'. Buku ini merupakan rujukan mama sepanjang mengandung, penuh informasi dan panduan yang amat berguna buat ibu bapa baru. Selain itu, mama turut mendapatkan maklumat dari internet, blog dan forum kehamilan - ratuhati. 

Di awal kehamilan, Dr. menyarankan mama mengambil Asid Folik dan NeuroGainPB. 

Asid Folik  
Pengambilan Asid Folik semasa mengandung amatlah penting. Pil Asid Folik mengandungi sumber-sumber semulajadi seperti sayuran hijau, kacang pea dan bijirin. Asid Folik merupakan ahli kumpulan vitamin B yang berfungsi dalam pembinaan dan kesejahteraan sel-sel dalam badan manusia. Asid Folik dapat membantu menghindarkan kecacatan bayi yang dipanggil “Neural Tube Defect” atau NTD / Spina Bifida.  
Menurut kajian, pengambilan Asid Folik dapat membantu mencegah kemungkinan kecacatan ini 50% ke 70% daripada ianya berlaku. Allah SWT yang menentukan semuanya tetapi usaha kita mengamalkan pencegahan dan doa untuk anak di dalam kandungan juga perlu ada. Asid Folik dimakan oleh wanita mengandung untuk pembinaan sel-sel bayi dalam kandungan.
Para saintis tidak pasti sebenarnya bagaimana ia boleh membantu dalam mencegah kecacatan kandungan, kuasa Allah tidak dapat disingkap namun saintis pasti, ia membantu dalam pembentukan sel-sel otak, tulang belakang, organ, kulit dan tulang. Keperluan Asid Folik boleh didapati samada dengan memakan makanan yang diperkayakan dengan Asid Folik atau dengan pil Asid Folik.  


NeuroGainPB
NeuroGainPB adalah sejenis minyak ikan. Kelebihan yang diperoleh dari supplement ini adalah untuk merangsang perkembangan otak baby dengan kata lain nak anak bijak. Pada tiga bulan terakhir kehamilan, penting untuk ibu mengandung mendapatkan omega-3 asid lemak perlu yang mencukupi. 70% sel otak fetus dibentuk pada waktu ini. Fetus mendapat omega-3 DHA dari ibu melalui plasenta. Jika ibu tidak mendapat DHA mencukupi, perkembangan bayi dalam kandungan mungkin akan terjejas dan mengakibatkan IQ rendah dan lemah penglihatan.

Selepas kandungan berusia enam bulan, Dr. menyarankan mama ambil Obimin pluz with DHA/EPA dan Kalsium Lactate sahaja.

Pil Calsium Lactate
Kekurangan pengambilan kalsium atau kealpaan dalam memberi tumpuan terhadap zat kalsium sebenarnya boleh menyebabkan komplikasi semasa meneran di saat-saat melahirkan anak. Lebih buruk, kesannya akan berterusan sehingga usia tua. Selain produk tenusu, ibu-ibu hamil perlu mengambil makanan pejal yang tinggi zat kalsium termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan bilis, salah satu makanan yang mempunyai kandungan kalsium paling tinggi. Walaupun ibu-ibu dibekalkan dengan pil kalsium, mereka tetap perlu mengamalkan diet sumber asli. Kalsium yang diambil amat berguna untuk kekuatan tulang khususnya bagi ibu-ibu yang memerlukan zat tersebut bagi kekuatan menanggung berat bayi secara fizikal. 
Selain itu, kalsium juga penting untuk pembekuan darah, menstabilkan transmisi impuls saraf dan untuk merehatkan otot sewaktu berlakunya kontraksi. Kalsium yang tidak mencukupi meningkatkan risiko pra-eklampsia iaitu gejala tekanan darah tinggi. Keadaan ini dikatakan berlaku selepas 20 minggu kehamilan bersama dengan masalah lain. Difahamkan juga pra-eklampsia berpotensi membawa maut bagi ibu dan bayi akibat kenaikan tekanan darah tinggi. 
Secara amnya, kalsium yang sedia dimiliki ibu akan diserap oleh bayi semasa dia membesar terutamanya dalam proses pembentukan tulang. Kesan paling ketara adalah ibu hamil akan kekurangan kalsium pada jumlah yang besar khususnya di akhir tempoh kehamilan. Kegagalan menggantikan kalsium yang diserap oleh bayi boleh menyebabkan ibu-ibu kehilangan gigi pada usia yang lebih muda daripada sepatutnya. Mereka juga berisiko tinggi menghidap osteoporosis.


Obimin pluz with DHA/EPA
Obimin pluz with DHA/EPA Obimin Pluz yang mencakupi segala khasiat, multivitamin, mineral untuk mama dan baby. Obimin pluz with DHA/EPA yang sememangnya baik untuk perkembangan otak bayi.
vitamin A - 3,000IU
vitamin D - 200IU
 vitamin E - 30 IU
vitamin B1 - 2mg
vitamin B2 - 2mg
 vitamin B6 - 3mg
vitamin B12 - 3mcg
Folic Acid - 1,000 mcg
calcium pantothenate - 8mg
Biotin - 35mcg
nicotinamide - 20mg
vitamic c - 100mg
iron - 30mg
iodine - 150mcg
calcium carbonate - 100mg
zinc - 15mg
magnesium - 5mg
manganese - 1 mg
copper - 1,000 mcg
natural fish oil - 500mg
omega 3 - 135mg
DHA - 105 mg


Tapi, demi kamu sayang mama telan je sebiji ubat segelas air penuh. Dua ubat dua gelas air penuh. Punyalah takut. Walau pun takut, mama tak pernah lupa makan ubat. Semuanya demi kamu sayang, demi memastikan yang terbaik untuk kamu sejak dari dalam kandungan lagi.



Monday 16 April 2012

Kisah Sekeping Roti Keju

Mengandung kali ini tidak perlu lagi diinsulin. Tak apa la Dr, saya control makan, janji mama. Nekad untuk mengawal pengambilan makanan. Cuma setiap kali dua jam selepas makan, hujung jari mama masih disuntik menggunakan alat glucometer untuk mengetahui bacaan gula dalam darah. Makan sedikit tetapi kerap. Itu yang diamalkan. PENUH DISIPLIN. 

Sememangnya yayah amat memantau pemakanan mama. Yayah siap sediakan menu harian, khasiat makanan yang telah diambil dan mama akan rekodkan ke dalam diari. Menu untuk sarapan yayah akan sediakan sekeping roti keju. Roti bakar yang disapu dengan marjerin dan dilapisi sekeping keju brand mother’s choice. Keju dan marjerin yang cair, sedap dimakan panas-panas dan kaya dengan kalsium. 

Bila di pejabat, yayah akan bekalkan sekeping roti keju tanpa dibakar. Sebabnya jika lambat dimakan akan liat dan kering pula. Bila kawan mama tanya, Puan sarapan apa pagi ni? Dia sendiri akan jawab roti keju. Tak jemu ke, hari-hari roti keju? Tak la, sebab sedap... jawab mama. Harga bagi sekeping keju brand mother’s choice memang mahal. Tapi demi kamu sayang, kami tak kisah. Tiap kali makan roti keju, mama dapat rasakan baby dalam perut akan aktif bergerak. Mesti kamu juga seronok berkongsi makanan dengan mama ya! Sedapkan sayang, roti keju yang yayah buat.

Sunday 15 April 2012

Tak Sabar Nak Jumpa Kamu Sayang

Selepas pemeriksaan dan pengesahan mengandung dari Dr. Zurina tempoh hari, kami tetap refer dengan Dr. Jaafar kerana Dr. lebih tahu kes dan sejarah kehamilan mama yang lepas. Berjumpa dengan Dr. Jaafar di Hospital Tawakal, Dr. senyum. Tahniah puan! Sah, Dr. Zurina dah cerita dulu la ni. Dr. Jaafar sememangnya seorang Pakar O&G yang amat mengambil berat tentang kesihatan pesakitnya. Begitu juga yayah yang sekalipun tidak pernah lupa membawa mama berjumpa Dr. Jaafar untuk pemeriksaan kandungan setiap bulan. Yayah pastikan temujanji dengan Dr. dipatuhi dan yayah sendiri yang menyimpan kad rawatan mama. 

Setiap kali di scan, Dr. akan terangkan kedudukan baby, kandungan air ketuban, fizikal baby dan juga aksi baby di dalam perut. Satu skrin untuk mama dan satu skrin lagi untuk yayah. Melalui scan sahajalah mama dan yayah boleh lihat kamu di alam rahim, sayang. Setiap kali di scan juga, mama mesti minta Dr. printkan sekeping sebagai kenangan terindah kami. Bahagianya apabila melihat tangan dan kaki kamu bergerak-gerak di dalam skrin dan aksi kamu mengeluarkan buih. Lihat tu, baby berpusing dan menendang. Oh, puan tak rasa lagi sebab baby masih kecil. Bila usia kandungan lima bulan baru jelas terasa, kata Dr. Sungguh seronok kami melihat kamu sayang.

Friday 13 April 2012

Ya Allah, Perkenankanlah Doa Kami...

Semua orang gembira mama kembali mengandung selepas keguguran. Lebih-lebih lagi yayah. Banyak perkara yang dirisaukan. Ternyata mengandung kali ini perlu lebih banyak berhati-hati dalam pelbagai perkara. Kesihatan diri perlu dijaga, pemakanan perlu dikawal, emosi yang perlu sentiasa ceria, persekitaran yang selamat, pantang larang yang dituruti, dan yang penting sekali baby dalam kandungan selamat. Semua dilakukan demi memastikan baby sempurna, sihat dan selamat lahir ke dunia.

Begitu juga atok dan opah yang sering bertanya tentang kesihatan mama dan keputusan imbasan setiap kali kami selesai mendapatkan rawatan di Klinik Dr. Jaafar. Ha, Dr. kata apa? Dah berapa minggu? jantina confirm ke lelaki? Ini adalah soalan yang selalu ditanya opah, confirm ke lelaki? Ya confirm, Dr. siap tunjuk bird baby lagi, jawab mama. Teruja sungguh opah, bila dapat tahu cucu sulong yang bakal lahir nanti anak lelaki. Yayah pula sukakan anak sulongnya perempuan, rajin katanya, boleh tolong mama nanti. Sebenarnya kami pun tak kisah sangat akan jantina, lelaki atau perempuan, yang penting ada zuriat. 

Doa ini lah yang diamalkan setiap hari dan diusap lembut diperut agar kandungan mama selamat sehinggalah disaat melahirkan. Doa ini jugalah yang ditampal di dinding agar terus dihafal dan dikongsi bersama rakan sekerja yang sama-sama mengandung.  
Ya Allah peliharalah anakku selama ia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan Mu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.
 Ya Allah rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperut ku dengan rupa yang baik, dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada Rasul-Mu.Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal.
Ya Allah panjangkanlah umurnya sihatkanlah badannya, dan baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad SAW, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Amin.

Friday 6 April 2012

Moga Impian menjadi kenyataan...

Enggan melakukan D&C sebab diceritakan dari pengalaman seorang kawan, katanya sakit. Dan...mama yakin kantung ‘baby’ telah keluar semasa membuang air kecil. Rahim mama dah kosong, jadi buat apa nak D&C lagi. Takutnya. ‘Kawan sayang buat di hospital kerajaan, ini hospital swasta, pujuk yayah’. Dr. sarankan agar D&C dilakukan demi memastikan tiada cebisan darah beku yang tertinggal dan kedudukan rahim dapat diperiksa. Ok, kita bius seluruh badan. Setuju. Pemeriksaan Dr. mendapati tiada cebisan yang tertinggal dan kedudukan rahim adalah normal. 

Selepas melakukan D&C dan badan kembali pulih sepenuhnya selepas dua bulan, mama telah lewat period selama sebulan. Check, pregnant test - Double line. Mengandungkah aku?. Keesokkan harinya yayah membawa mama sekali lagi berjumpa Dr. Zurina di Klinik Caterall Khoo dan Raja Malek, Bangunan Ming, Jalan Bukit Nenas. Kami menceritakan mengenai keputusan ujian air kencing yang telah dilakukan di rumah. Pemeriksaan dan ujian air kencing dilakukan sekali lagi di klinik untuk pengesahan. Hati berdebar-debar. Harap-harap mengandungla. Tinggi impian kami. Alhamdulillah, keputusannya mama disahkan mengandung. Syukur, penantian selepas keguguran, tidak terlalu lama.

Wednesday 4 April 2012

Impian belum tertunai...

Rahim terasa sakit. Sakit yang berpanjangan. Maka, yayah membawa mama berjumpa Dr. di Klinik Caterall Khoo dan Raja Malek, Bangunan Ming, Jalan Bukit Nenas. Berjumpalah kami dengan Dr. Tengku Zurina. Buat pemeriksaan dan diminta membuat ujian air kencing. Positif!  Menitis air mata kami apabila disahkan mama mengandung. Terharu dan gembira tak terkata. Selama lebih tiga tahun kami menantikan kehadiran cahaya mata, pelengkap hidup suami isteri. Pelbagai ikhtiar dilakukan agar cepat lekat. 

Alhamdulillah di pagi jumaat kami mendengar perkhabaran gembira, mama disahkan mengandung. Lantas Dr. Zurina mengesyorkan supaya pemeriksaan kesihatan dilakukan dan rawatan dirujuk dengan suaminya Dr. Jaafar Yaakob, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Tawakal. Cadangan tersebut disambut baik dan Hospital Tawakal merupakan salah satu klinik panel BNM. Perkhabaran gembira ini kami kongsikan bersama mama, ayah, keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan sekerja. Terlalu excited!. Alhamdulillah, syukur. 

Dalam masa yang sama pemakanan juga perlu dikawal kerana pemeriksaan kandungan gula dalam darah agak tinggi. Bimbang sebarang komplikasi kehamilan berlaku, maka kes dirujuk dengan Pakar Diabetes dan Pakar Dietatik. Dan... Dr. mengesyorkan supaya tinggal di wad selama tiga hari, diajar menggunakan suntikan insulin dan mengamalkan diet yang betul sepanjang tempoh kehamilan. Telah menjadi rutin harian mama untuk menyuntik insulin diperut dan memantau kandungan gula dalam darah melalui alat glucometer. 

Walau bagaimanapun, kegembiraan yang ingin kami kecapi ini tidak lama. Pemeriksaan Dr. mendapati sepatutnya dalam masa dua minggu jantung baby sudah kelihatan. Tetapi tidak. Hanya kantungnya yang ada. Dr. turut menyatakan kandungan mungkin tidak menjadi kerana tiada tumbesaran. Pendarahan semasa awal kandungan juga merupakan salah satu tanda-tanda keguguran. Pendarahan yang berhari-hari tanpa henti membuatkan impian untuk mempunyai cahaya mata seakan-akan tidak kesampaian. Rahim masih lagi sakit. Dan... sewaktu membuang air kecil mengalir berketul-ketul darah. Mama pernah berpesan ‘lepaskan usah ditahan-tahan, redha dengan takdir Allah, mungkin ada hikmah disebaliknya’. 

Luluh rasanya hati ketika Dr. membuat imbasan dan mendapati kantung baby telah tiada. Hari jumaat kami mendapat perkhabaran gembira, dan di hari jumaat jugalah Dr. sahkan ‘baby’ telah tiada.  Sedih kerana kehilangan ‘baby’ yang kami impikan. Masih belum tertunai lagi impian untuk bergelar ibu dan ayah. Sedih kerana membuatkan mama dan ayah tidak kesampaian untuk mempunyai cucu sulong. Sedih kerana mengecewakan hati semua orang. Sedih. Sedih. Sedih.