Wednesday 4 April 2012

Impian belum tertunai...

Rahim terasa sakit. Sakit yang berpanjangan. Maka, yayah membawa mama berjumpa Dr. di Klinik Caterall Khoo dan Raja Malek, Bangunan Ming, Jalan Bukit Nenas. Berjumpalah kami dengan Dr. Tengku Zurina. Buat pemeriksaan dan diminta membuat ujian air kencing. Positif!  Menitis air mata kami apabila disahkan mama mengandung. Terharu dan gembira tak terkata. Selama lebih tiga tahun kami menantikan kehadiran cahaya mata, pelengkap hidup suami isteri. Pelbagai ikhtiar dilakukan agar cepat lekat. 

Alhamdulillah di pagi jumaat kami mendengar perkhabaran gembira, mama disahkan mengandung. Lantas Dr. Zurina mengesyorkan supaya pemeriksaan kesihatan dilakukan dan rawatan dirujuk dengan suaminya Dr. Jaafar Yaakob, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Tawakal. Cadangan tersebut disambut baik dan Hospital Tawakal merupakan salah satu klinik panel BNM. Perkhabaran gembira ini kami kongsikan bersama mama, ayah, keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan sekerja. Terlalu excited!. Alhamdulillah, syukur. 

Dalam masa yang sama pemakanan juga perlu dikawal kerana pemeriksaan kandungan gula dalam darah agak tinggi. Bimbang sebarang komplikasi kehamilan berlaku, maka kes dirujuk dengan Pakar Diabetes dan Pakar Dietatik. Dan... Dr. mengesyorkan supaya tinggal di wad selama tiga hari, diajar menggunakan suntikan insulin dan mengamalkan diet yang betul sepanjang tempoh kehamilan. Telah menjadi rutin harian mama untuk menyuntik insulin diperut dan memantau kandungan gula dalam darah melalui alat glucometer. 

Walau bagaimanapun, kegembiraan yang ingin kami kecapi ini tidak lama. Pemeriksaan Dr. mendapati sepatutnya dalam masa dua minggu jantung baby sudah kelihatan. Tetapi tidak. Hanya kantungnya yang ada. Dr. turut menyatakan kandungan mungkin tidak menjadi kerana tiada tumbesaran. Pendarahan semasa awal kandungan juga merupakan salah satu tanda-tanda keguguran. Pendarahan yang berhari-hari tanpa henti membuatkan impian untuk mempunyai cahaya mata seakan-akan tidak kesampaian. Rahim masih lagi sakit. Dan... sewaktu membuang air kecil mengalir berketul-ketul darah. Mama pernah berpesan ‘lepaskan usah ditahan-tahan, redha dengan takdir Allah, mungkin ada hikmah disebaliknya’. 

Luluh rasanya hati ketika Dr. membuat imbasan dan mendapati kantung baby telah tiada. Hari jumaat kami mendapat perkhabaran gembira, dan di hari jumaat jugalah Dr. sahkan ‘baby’ telah tiada.  Sedih kerana kehilangan ‘baby’ yang kami impikan. Masih belum tertunai lagi impian untuk bergelar ibu dan ayah. Sedih kerana membuatkan mama dan ayah tidak kesampaian untuk mempunyai cucu sulong. Sedih kerana mengecewakan hati semua orang. Sedih. Sedih. Sedih.

No comments:

Post a Comment