Tuesday 21 January 2014

Perhimpunan di Pagi Isnin...

Mama, dekat sini la Rizqin nyanyi NEGARAKU, TANAH TUMPAHNYA DARAHKU.. Oh, ya ke Rizqin nyanyi lagu Negaraku kat sini. Sambil dia tunjukkan kawasan lapang di tadikanya. Pandainya Rizqin nyanyi, puji mama.

Biasanya pagi sempatla mama curi-curi masa tanya cikgu tentang perkembangan Rizqin dan aktiviti yang dilakukannya di sekolah semalam. Cikgu kata, setiap hari Isnin ada perhimpunan kat sana. Patutla Rizqin kata dia nyanyi lagu Negaraku, sembang mama dengan Cikgu Rizqin. Bagusla sejak tadika telah diterapkan semangat patriotik di jiwa kanak-kanak dan suasana sebenar di pagi Isnin apabila mereka bersekolah rendah nanti.

Syifa ke UTC...

Semalam Aunty Ja tak kerja. Cadangnya dia dan atok nak ke UTC Bandar Baru Sentul sebab nak renew passport, buat IC baru dan ke klinik. Ya, la orang nak ke Bandung... SHOPPING! Syifa tanya Opah, Rizqin ikut tak?. Tak. Dia sekolah, jawab Opah. Syifa nak ikut atok pergi UTC la.

Petang waktu mama balik kerja, mama tanya Syifa pergi mana tadi? Pergi... ha..inila dia Syifa pergi tadi. Kebetulan keluar iklan UTC di TV. Terus dia nyanyi UTC…UTC
PUSAT PELBAGAI PERKHIDMATAN
BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT
PUSAT TRANSFORMASI BANDAR 

Seronok Syifa pergi mama, sejuk, cerita Syifa. Yayah tanya Syifa pergi naik apa tadi? Naik kereta orang. Syifa tumpang, jawab Syifa selamba. Kelakar la Syifa ni. Pertama kali dia naik teksi, patutla dia kata naik kereta orang.

Monday 20 January 2014

Beg Transformers saya...

Pagi semasa di dalam kelas, Rizqin bisik pada mama dan yayah tentang beg kawannya. Mama, tengok tu Beg kawan Rizqin, TRANSFORMERS. A’ah la Rizqin.. beg dia Transformers...tapi dia punya lain, Rizqin punya lain, tak sama, bisik mama. Yayah, tengok tu...beg dia Transformers. Oh, lain tak sama dengan Rizqin punya. 

Budak-budak sekarang ni, beg sekolah mereka semuanya animasi kartun...kalau budak perempuan Barbies, kalau budak lelaki Ben10, Spiderman, Transformers, Upin Ipin dan macam-macam lagi. Kini musim beg Despicable.  Ada beg yang lebih besar dari tuannya. Kesian mama tengok budak-budak tadika sandang beg besar, boleh pakai sampai sekolah rendah. Beg sekolah jenis trolley pun ada, mudah nak sorong buku. Berat sangat ke buku untuk budak tadika? Rizqin buku teks / latihan ada 11 buah. Cikgu suruh bawa balik semua buku untuk ibu bapa balut. Rizqin nak tumbang sandang beg, kata atok. Berat. Memang berat pun beg dia..hahaha.

Syifa pulak nak beg sekolah yang macam mana nanti ya? Dengarnya dia nak beg Dinosaur. Kenalah mama cari beg Dinosaur Train. Barnie? Oh...dia tak nak. Awal-awal lagi dia dah reject.

Kamu belum ke sekolah...

Hari pertama boleh la Syifa ikut hantar abangnya ke tadika. Hari seterusnya memang Syifa tak boleh ikut kami hantar Rizqin ke sekolah sebabnya mama dan yayah berkejar masa untuk tiba di pejabat sebelum jam 8.30 pagi. Mana sempat nak singgah semula hantar Syifa pada opah, nak singgah kedai beli Super Ring, nak beli mainan kat babu roti dan macam-macam lagi kemahuan Syifa. Sebab itu la Syifa tak boleh ikut. Nanti Syifa jemput Rizqin dengan atok ya, sayang! Berguling-guling la Syifa, jenuh la opah mententeramkannya. Abangnya steady je atas motor, bye-bye adik! bye-bye adik! Rizqin nak pergi sekolah ni.

Selepas dua tiga hari keadaan masih sama. Syifa menangis nak ikut abangnya. Lepas beberapa hari baru dia ok. Tak boleh hantar Rizqin, jemput je boleh, nanti bila matahari dah keluar baru boleh jemput Rizqin, kata Syifa. Faham pulak dia.  

Kamu belum ke sekolah...
Pernah satu hari tu, Opah pesan pada Syifa, jangan nakal-nakal tau Syifa, kita tinggal berdua je pagi ni, atok tak ada di rumah pergi Klinik. Ketika opah sedang masak di dapur, opah terdengar suara budak kecil menangis teresak-esak. Dalam hati opah berkata Anak siapa la yang menangis tu? Anak orang atas kot. Bila opah pergi ke ruang tamu, rupa-rupanya Syifa yang menangis. Jenuh nak dipujuknya. Bila ditanya Kenapa Syifa nangis? Syifa nak mama, Syifa nak mama, rengek Syifa. Ya la, tadi masa mama nak pergi kerja Syifa buat tak tahu je. Merajuk sebab tak dapat hantar Rizqin. Lepas tu, bila mama dah pergi kerja baru dia sibuk nak mama, nak mama. Terpaksalah opah sambung memasak sambil Syifa duduk dalam sinki! Payahnya opah nak masak. Syifa, Syifa. Tak nak langsung tengok TV.

Bila dah seminggu Rizqin bersekolah, Syifa dah boleh biasa dengan keadaan. Kalau dulu, Mei Mei dan Yurosh sibuk panggil Rizqin dan Syifa ajak main kat luar, kini masing-masing semuanya dah ke tadika dan dah ke tahun satu. Tinggal Syifa je yang masih belum ke sekolah. Opah kata Syifa baik je. Dia main sorang-sorang. Baring depan TV sambil makan cekodok, tengok cerita Dinosaur. Hari-hari dia tengok cerita The Land Before Time atau pun Dinotasia, cerita kegemaran si baby dinosaur ni. Jangan lupa jemput abang tau Syifa!

Hari Pertama di Tadika...

Pada 6 Januari 2014 bermula la hari pertama persekolahan Rizqin ke tadika. Seawal jam 6.00 pagi Rizqin sudah bangun dan bersiap untuk ke sekolah. Hari pertama ini semua murid diminta memakai t-shirt putih dan track suit hitam / biru. Uniform masih belum diterima dan menurut cikgu ia sedang diedarkan ke seluruh tadika. Cikgu kata, sepanjang seminggu ini murid-murid dibenarkan balik awal jam 11.00 pagi. Tetapi minggu depan ikut jadual seperti biasa balik jam 12.00 tengahari. Rizqin tak sabar-sabar nak ke sekolah. Selesai menikmati sarapan yang opah sediakan, jam 7.50 pagi kami menghantar Rizqin ke tadika. Kalau lambat jalan kaki, kata yayah. Tak nak! Rizqin nak naik motor, sekolah Rizqin jauh ayah, hari-hari Rizqin nak naik motor, kata Rizqin.

Kisah Rizqin di Tadika... 
Bagi murid 5 tahun, terdapat dua kelas iaitu Kelas Arif dan Kelas Bijak. Ada 19 orang murid di kelas Rizqin. Ewah, ewah...Rizqin duduk di depan sekali supaya senang nak tanya cikgu, mudah fokus dan cepat serap ilmu. Botol air letak di meja belakang, kata Cikgu. Jadinya, botol air transformersnya terpaksa berpisah dengannya. Masuk dalam kelas, Rizqin asyik pegang anu dia. Cikgu tanya, Abang nak buang air kecil ke? Nak, jawab Rizqin. Kencing duduk, dah kencing? Rizqin tak kencing pun, jawab Rizqin. Mama hanya melihat gelagatnya di luar kelas. Ok la tu, dia dah pandai ke tandas sekolah, bisik hati mama.

Di hari pertama, murid-murid diajar ke tandas. Siapa nak buang air kecil atau buang air besar, angkat tangat. Beritahu cikgu. Siapa yang terkencing, lap sendiri ya, pesan cikgu. Cikgu uji kefahaman murid-murid tentang warna. Bila cikgu tanya Baju cikgu warna apa? Kebanyakkannya semua murid dah kenal warna. Kemudian, sebakul mainan block cikgu punggah letak di atas meja. Main mainan sama-sama, sebabnya cikgu kata Disekolah, kawan-kawan umpama adik-beradik kita, main sama-sama. Rizqin tengok je mainan block tu...ish, anak IT ni biasa sangat main i-pad. Kalau di rumah, bukan main sibuk berebut mainan dengan Syifa. Di sekolah elok je dia.

Ragam murid-murid vs gelagat mak bapak... 
Alhamdulillah,  Rizqin steady je, tak menangis pun dia. Cool je. Macam-macam ragam murid-murid baru. Ada murid yang menangis nakkan ibu dia. Ada yang menangis, tapi air mata setitik pun tak keluar, bunyi je lebih. Ada yang dipaksa dan diseret masuk ke dalam kelas. Ada yang panjat grill sekolah nak keluar.

Itu kisah si anak. Ini pula kisah mak bapaknya. Ada jugak mak bapak yang sibuk, Cikgu anak saya menangis, pujuk la dia cikgu, takkan nak biarkan aje. Cikgu tukarkan lah anak saya ke kelas ini, kawan-kawan dia ramai kat kelas ni. Cikgu anak saya nangis, kalau nangis nanti dia demam. Boleh kena sawan kalau nangis ni, cikgu. Cikgu buat tak tahu je..buat apa nak layan perkara-perkara remeh ni. Mak bapak pulak yang lebih-lebih. Mama yang berada di sekolah pun, pening kepala melihat gelagat ibu bapa. Sehingga jam 9.30 pagi mama dapat tunggu Rizqin, Syifa merengek nak balik, dia letih, panas. Lagi pun dia takut tengok ada budak menjerit-jerit nangis nak balik. 

Horey dah boleh balik... 
Habis sekolah jam 11.00 pagi atok dan Syifa datang menjemputnya. Tak sabar-sabar Rizqin nak balik sehinggakan separuh jalan mereka terpaksa berpatah balik sebab tertinggal botol air transformersnya. Sampai di tangga pulak, atok perasan Rizqin tak pakai stokin.. patah balik semula ke sekolah. Cikgu bagi stokin. Yang sebenarnya stokin Rizqin ada dalam beg sekolahnya, sebab tadi kan Rizqin ke tandas, lepas tu dia tak pakai stokin semula. Rizqin, Rizqin.. lain kali sebelum balik check barang-barang sekolah dulu. Syifa, nanti check barang-barang abang tau. Ok mama, nanti Syifa check, penuh bangga. Inilah antara pengalaman di hari pertama Rizqin di tadika. Kami semua excited Rizqin dah sekolah! Syifa, kamu tunggu giliran kamu tahun depan... jangan kamu menangis udah la ya!.

Wednesday 15 January 2014

Hari Pendaftaran di Tadika...

Rizqin dah berumur 5 tahun pada tahun ini. Dia dah mula didaftarkan ke Tadika. Alhamdulillah, kami memilih tadika yang berhampiran dengan rumah atok berbanding cadangan asal mama hendak hantar Rizqin ke Genius Aulad di Taman Samudera, Batu Caves. Jauh tu... Rizqin kena naik public transport, kata Opah. Pilih je yang dekat, boleh atok/opah dan Syifa jenguk-jenguk. Senang nak pantau. Sememangnya, di kawasan rumah atok, ada tiga jenis tadika iaitu Tadika Sang Kancil DBKL, Tadika KEMAS dan Tadika Islam MAIWP. Rizqin cenderung ke arah pendidikan islam, lagi pun dia bercita-cita nak jadi Ustaz. Jadi, kami memilih Tadika Islam MAIWP untuknya. Sejak Oktober 2013 lagi kami dah isi permohonan dan cepat-cepat hantar borang. Takut penuh. Alhamdulillah, permohonan kemasukan Rizqin ke Tadika MAIWP diterima.

Rizqin memang tak sabar-sabar nak ke sekolah. Di rumah, sibuk digayakan begnya, dikendong botol airnya dan diasah penselnya. Menunjuk-nunjuk dengan adiknya Nur Syifa. Menangis la Syifa kerana dia belum lagi ke sekolah. Adik belum pergi sekolah lagi...sebab adik baru 4 tahun, 5 tahun nanti baru adik boleh pergi sekolah dengan Rizqin, kata Rizqin. Tahun depan ya adik, tahun depan, pujuk Rizqin.

Di hari pendaftaran pada 2 Januari 2014 yang lepas, Rizqin seronok dan ceria sangat. Atuk, mama dan Syifa hantar Rizqin ke sekolah. Sepanjang perjalanan menuju ke sekolah tadika, Rizqin akan melalui Tadika KEMAS. Memang ceria persekitaran di tadika ini. Langsir angry Birds, mural yang berwarna-warni dan dekorasi kelas yang ceria. Pada mulanya Rizqin ingat dia didaftarkan di tadika ini, rupa-rupanya sekolah tadikanya jauh di depan. Memang jauh sikitla perjalanannya ke tadika, lalu di padang bola... berpeluh. Mama, ini bukan sekolah Rizqin ke? Bukan.. sekolah Rizqin dekat depan sana. Ha, tu dia Tadika Rizqin. Tapi bila masuk dalam kelas Tadika Islam MAIWP ini mata Rizqin meliar melihat hiasan ayat al-quran dan tulisan-tulisan jawi melatari dinding-dinding kelas. Alif Ba Ta....ini doa. Berbeza dengan tadika yang dia lihat tadi. Itu yang Rizqin cari sebenarnya. Lepas tu dia sibuk melagukan alif ba ta seperti mana yang sering didengarinya dalam You Tube. Dia juga suka sangat tengok tangki air di atas siling. Ada apa dalam tangki air tu, mama? Ada najis la, bunyi air orang basuh pinggan la, Rizqin. 

Sampai giliran untuk didaftarkan, bising mulutnya menyapa cikgu... Cikgu, tengok ni beg Rizqin, Transformers. Tengok botol air ni, Transformers. Pensel pun Transformers. Semuanya Transformers! Memang dia minta mama belikan barang-barang sekolahnya jenama Transformers. Jenama lain dia tak nak. Bila Cikgu tanya nama Muhammad Syafi Rizqin, cikgu nak panggil apa ni? panggil Rizqin la.. jawab Rizqin. Umur berapa tahun? Lima tahun. Sambil menunjukkan tiga jarinya...ha..ha..ha. Bayaran yuran pada hari pendaftaran adalah sebanyak RM 279.00 sebab tambah dua pasang uniform lagi. Ditambah yuran RM180.00 (bayaran penuh untuk Februari hingga Oktober). 

Waktu nak balik, dia mengeluh. Jauhnya sekolah Rizqin mama. Penat la. Rizqin nak naik motor la pergi sekolah. Ya, hari ni je kita jalan kaki, lepas ni setiap hari mama dan yayah akan hantar Rizqin ke sekolah naik motor. Seronok dia!. Tengahari pulak, ada budak kecik turut nak pergi ke sekolah.. siapa lagi, si baby dinosaur Syifa la...giliran dia pulak melaram baju dan beg sekolah abangnya. Bergambar sakan dan whatsapp gambar anak ke sekolah pada mama baby Zara dan mygroup sibling. Rasanya semua ibubapa pun sibuk update status di hari pertama persekolahan anak-anak. Seronokkan...dah besar anak-anak kita abang! Belajar rajin-rajin tau Rizqin.

Rezeki di Penghujung Tahun 2013

Alhamdulillah, di penghujung tahun 2013 ada bonus yang diterima dari Majikan dan juga bonus setengah bulan gaji untuk penjawat awam (mama la tu..). dan keriangan berganda-ganda apabila Datuk Bandar turut mengumumkan bonus setengah bulan gaji lagi kepada kakitangan di bawah PBTnya. Yahooo! maknanya dapat bonus sebulan gaji la mama. Yayah pula bonusnya berdasarkan Prime dan angkanya jeng..jeng..jeng...rahsia. Syukur, jumlahnya lebih, lebih-lebih banyak dari tahun lepas. Alhamdulillah. Sudah pastinya bonus yang diterima diperuntukkan untuk insan tersayang. 

Yayah telah belanja kami semua menikmati hidangan makan malam di Restoran Mek Tanjung Seafood, Ulu Yam, Selangor. Kami memilih hidangan Set Menu untuk 8 orang makan berharga RM 98.00. Antara menu istimewanya ialah nasi putih, ikan siakap stim, tomyam seafood, udang masak sambal tumis petai, daging masak merah, telur campur, kangkung goreng belacan, teh ais limau dan extra order untuk sup tulang, udang salut tepung dan  kerabu sotong. Kenyang sungguh kami makan malam itu. Licin. Banyak sungguh menunya dan hidangan lauk untuk satu pinggan pun banyak dan membukit. Bertambah-tambah nasi. Harganya juga murah dan sedap. Opah siap puji dan berdoa untuk menantu kesayangan @ anak sulung lelakinya ini agar dimurahkan rezeki, sihat tubuh badan dan didoakan yang baik-baik untuknya. Terima kasih abang @ abang Rizal @Rizal @yayah  kerana belanja kami makan besar!

Hadiah bonus untuk Rizqin ialah sebuah basikal BMX dan set komputer Lenovo 3 in 1 hadiah dari mama buat Rizqin. Sekarang ini mudah la nak guna komputer, tak perlu nak berebut-rebut lagi, seorang satu PC disetiap bilik. Tiap kali round-round di taman dengan basikal mesti Rizqin akan kata Tengok ni, basikal BMX Rizqin. Yayah belikan, yayah dapat bonus!. Kecoh la Rizqin ni... habis satu taman dicanangnya, sampai la ke Batu Muda dia bercerita tentang basikal BMX barunya. Rizqin juga turut meminta supaya rumah kita nanti ada kolam ikan sama seperti yang dilihatnya di Restoran Mek Tanjung Seafood. Kecik pun tak apa, pujuk Rizqin. Ok, nanti kita beli di Sungai Buloh, janji yayah. Nanti bolehla mama hiaskan kolam tu dengan pokok kiambang dan lampu LED. 

Selebihnya buat bayar kereta (bukan bayar down payment kereta Honda Civic yang mama nak sangat tu tau) renew road tax la, servis motor, renovate bumbung dan tembok batu, shopping baju baru untuk anak-anak, baju baru mama, baju ke pejabat, peralatan sekolah, meja belajar untuk Rizqin dan Syifa dan sebagainya. Selebihnya turut disedekahkan, diagihkan dan 1/3 disimpan untuk masa depan. Syukur, Alhamdulillah dan terima kasih yayah di atas ganjaran mewah yang diberikan. Semoga murah rezeki, dipelihara dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t. Amin.


Tuesday 14 January 2014

Seronoknya di Fraser's Hill - Part 2

Sebenarnya masih ada lagi cerita dipenghujung tahun 2013. Syifa asyik sebut... Fraser’s Hill dah selamat! Fraser’s Hill dah selamat!. Sebenarnya kami dah selamat sampai di Fraser’s Hill pada 24, 25 dan 26 Disember yang lepas. Biasalah hujung tahun, yayah dan mama akan apply cuti panjang dan kita semua akan pergi bercuti. Percutian kali ini ke Fraser’s Hill. Lagi, lagi Fraser’s Hill, lagi, lagi Fraser’s Hill. Ini kali ketiga mama ke Fraser’s Hill. Kali kedua buat atok, opah, aunty Ja, Paksu Syafiq, yayah dan Syifa. Pertama kali buat Rizqin. Sebab Rizqin tak pernah pergilah kami memilih Fraser’s Hill sebagai destinasi percutian pada kali ini. Syifa? Dah tentulah dia yang paling excited. Dia kan baru je pergi Fraser’s Hill bulan Oktober yang lepas (Baca ini Part 1). 

Jam 3.00 petang kami bertolak dan singgah dulu membeli 3 kotak dinner plate KFC dan 2 kotak cheezy wedges untuk dibawa ke Fraser’s Hill. Sepanjang perjalanan, kami melintasi Empangan Pecah Kuala Kubu Bharu. Seronok Rizqin melihat air empangan dan air terjun. Syifa pula nyenyak tido. Setelah melintasi Air Terjun Sungai Chiling, pemanduan semakin mencabar. Banyak selekoh tajam dan memerlukan pemanduan yang berhati-hati. Keadaan jalan raya yang tidak terurus, banyak kesan tanah runtuh dan pohon buluh yang bersepah di tengah dan di tepi jalan raya. Berselisih dengan orang asli dan terdapat sebuah jentera MDHS sedang membersih dan memotong pokok. Harap-harap cuti Krismas ni ramailah pengunjung ke Fraser’s Hill sebab kalau sunyi sangat... takut. 

Paksu syafiq pulak jam 7.15 petang baru sampai di jalan bengkang-bengkok Fraser’s Hill. Kenapa lambat? Orang masih bekerja... lainlah kami yang sememangnya mood cuti. Banyak kali mama sms supaya berhati-hati ketika memandu. Keadaan jalan di hutan tebal yang amat gelap dan tiada kenderaan yang berselisih. Sunyi dan gelap...tak ada line telefon. Kata Atok, ada sebuah kereta yang dipandu laju, memintas kereta Paksu Syafiq dan terus hilang. Mungkin dia dah biasa dengan jalan ini. Yayah kata...Beraninya dia bawa laju-laju. Takut hilang ke bawah. Banyak kes macam ni, dah seminggu baru jumpa....tahu-tahu dah busuk jatuh gaung. Ish.. Nauzubillah min zalik.

Jam 8.15 malam baru lah mereka semua sampai di Fraser’s Hill. Alhamdulillah. Malam itu, kami semua berkumpul dan bergambar di mercu tanda Fraser’s Hill - Clock tower. Posing sakan kita orang. Suasana malam yang terang benderang, sejuk dan nyaman. Rupa-rupanya Aunty Ja pun bawa dinner plate KFC 4 kotak. Makan KFC lagi la kami!. Kami menginap di Pine Resort, Bank. Menginap di Rumah Rehat Bank tentunya banyak stok makanan yang dibawa. Masak, makan, tido..itulah aktiviti kami di Fraser’s Hill. Bestnya. 

Mujur, ramai pengunjung di Pine Resort.. Jiran ditingkat bawah main mahjung, minum-minum dan main mercun di malam Krismas. Riuh jugak la Pine Resort. Esok paginya opah masak bihun goreng dan cekodok kesukaan yayah. KFC semalam pun tak habis lagi. Sambung makan KFC. Tengahari turn mama dan Aunty Ja pulak masak nasi ayam Hainan, sup ayam, ayam masak sambal merah, telur dadar dan rebus bendi. Berselera kami makan di Fraser’s Hill yang sejuk sangat. Rizqin dan Syifa sentiasa pakai jaket.. sejuk mama, sejuk mama. Ramai pengunjung dah balik... Pine Resort bertambah sunyi.. Kami pun pakat-pakat nak balik. Bye..bye Fraser’s Hill. Insyaallah kita ke sana lagi.

Selamat Tahun Baru 2014

Selamat Tahun Baru Semua...