Thursday 19 December 2013

Kami dah besar...

Anak-anak kami baru start potty training. Syifa anak yang mudah untuk diajar supaya tidak lagi memakai pampers. Tiap kali gesaan untuk membuang air, dia akan segera ke tandas. Mudah sekali. Kadang-kadang dia kata, mama Syifa nak berak ni, nak berak ni. Cepat-cepat mama membawa Syifa ke tandas. Oh.. kentut je, tak berak pun, kata Syifa. Kalau dipakai kan pampers dia tak nak. Katanya dia dah besar, tak perlu lagi pakai pampers. Begitu mudah sekali. Bila diingatkan kembali sukarnya kami memahami ragamnya diwaktu kecil, alhamdulillah dia sebenarnya paling mudah diurus. Yayah kata Syifa mudah sebab dia biasa telanjang bulat di rumah. Ha..ha..ha...Kalau tidur di siang hari, Syifa tak pernah terkencing atas tilam. Pasti dia akan kejutkan kami untuk ke tandas.

Rizqin pula nampaknya gelisah bila mula tak dipakaikannya pampers. Beberapa kali dia tak sempat berlari ke tandas. Habis lantai rumah atok. Syifa pula akan melarang atok dari mengelap air kencing Rizqin. Nanti atok, panggil opah dulu, tengok ni Opah. Opahkan garang...sengaja Syifa mengadu supaya Rizqin kena marah. Kadang-kadang Rizqin akan merayu dengan opahnya supaya dia dipakaikan pampers. Rizqin kan dah besar, tak boleh pakai pampers lagi. Tapi, dengan latihan ke tandas, pujian dan galakan buatnya, alhamdulillah dia berjaya untuk tidak lagi memakai pampers. Kini anak-anak kami dah tak lagi pakai pampers. 

Tuesday 17 December 2013

Ustaz muda kami...

Setiap hujung minggu hari Sabtu dan Ahad, Rizqin akan mengikuti Kelas Mengaji Teknik Al-Baghdadi di surau. Jadi pada setiap hari Jumaat malam Sabtu, Rizqin akan bermalam di rumah atok. Kelas mengaji ini merupakan program anjuran JAWI dan terbuka bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 12 tahun. Seramai 70 orang peserta telah dipilih. Rizqin merupakan peserta yang paling muda dan sering mendapat perhatian. Lengkap berjubah dan bersongkok atau berbaju melayu lengkap bersampin. Hensemnya anak mama. 

Kelas mengaji ini bermula dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Satu jam pertama memang dia fokus untuk mengaji. Tapi bila dah masuk jam berikutnya, dia mula la nak main dan baring-baring di surau. Ustazah pun sporting, tak ada nak marah-marah sebab ustazah pun faham....budak kecik. Ustazah sukakan Rizqin. Rizqin cepat tangkap apa yang ustazah ajar. Dia mudah ingat. Dia selalu ke depan dan ajar kawan-kawan lain ikut dia baca. Alhamdulillah, baru beberapa hari mengaji, Rizqin dah pandai baca doa khatam quran. Cukup lancar dia melagukan doa tersebut. Ustazah suka suruh Rizqin baca doa. Tapi kalau tak ada microphone Rizqin tak nak baca. Sebab dia nak bagi atok dan opah di atas dengar suaranya. Wah, suara Rizqin! kuatnya satu flat boleh dengar. 

Ada huruf alif dan ya. Maka bunyinya aaaa...ya. Tapi Rizqin sebut aaaa..ya Rizqin. Lepas tu dia gelak, ha..ha... ayah Rizqin. Ayah Rizqin. Kesan dari pembelajaran di kelas mengaji ini, Rizqin dah kenal huruf hijaiyah, dah lancar baca al-fatihah dan dah pandai kenal huruf al-quran yang bersambung. Pandai berinteraksi dengan kawan-kawan, orang surau dan dia berani ke depan. Bila kami tanya, Rizqin dah besar nak jadi apa? Dia kata Rizqin nak jadi  ustaz. Ustaz Rizqin. Syukur, Alhamdulillah.

Monday 16 December 2013

Susu lembu oh tidak!

Kalau syifa dengan mainan dinosaurnya, Rizqin pula sukakan lembu. Suka sangat tengok tetek lembu. Kenapa tetek lembu besar dari tetek kambing, mama? Oh, tetek lembu dah diperah, susu dah keluar, jawab mama. Lepas tu, perasan tak iklan Kit Kat, kan ada lelaki berehat sebentar dikandang lembu. Sibuk dia suruh mama pause bila lembu tu keluar susu. Kalau iklan susu di TV pun sama, tergelak-gelak dia tengok tetek lembu keluar susu. 

Di kawasan kediaman kami pula, petang-petang banyakla lembu pulang ke kandang. Dapat la Rizqin tengok lembu berkeliaran. Ha, ha tu tetek lembu! tu tetek lembu! Ha, ha lembu berak, lembu berak! Bila search dalam internet tengok image lembu, dia geli tengok tetek lembu. Lepas tu atok kata ini lah susu yang kamu minum. Eeeee.. Rizqin tak nak minum susu lagi la. Rizqin geli. Tapi Rizqin kena minum jugak, kalau tak macam mana kamu nak besar, pujuk atok. Terus Rizqin baring. Tengok ni Rizqin dah besar atok, dah panjang, dah tak payah minum susu lagi.



Dinosaur oh Dinosaur...

Nanti mama balik kerja mama beli dinosaur ya...macam kotak ini ya? Tadaaaa... tengok ni, mama belikan Syifa dinosaur. Dia memang nak sangat dinosaur, sampaikan berangan dah dapat dinosaur. Jadinya waktu makan tengahari, mama ke Sogo mencari dinosaur untuk Syifa. Harap-harap ada la mainan dinosaur Rex. Terkejut jugak melihatkan harga mainan dinosaur seekor RM49.90. Di pasar pagi Batang Kali lima ekor dinosaur baru RM10.00. Dah la sama, mahal pulak tu. Pencarian diteruskan ke Mydin Jalan TAR.Harap-harap adalah seekor mainan dinosaur untuk dibawa pulang. Alhamdulillah, ada tiga ekor mainan dinosaur berharga RM10.50. Dinosaur Rex! Besar pulak tu.

Mesti Syifa suka. Pulang dari kerja, Syifa terus tanya...Mama ada beli Dinosaur Rex untuk Syifa tak? Nasib baik, sayang dapat cari...bisik yayah. Suka benar Nur Syifa. Dia siap tanya Mama tak kerja ke hari ini? Kerja sayang, puas mama cari dinosaur untuk Syifa. Syifa, sayang mama... Dia terlalu sayangkan dinosaurnya. Bila yayah tanya, siapa yang beli? mama yang beli, jawab Syifa. Tapi, yayah yang bawa mama pergi beli dinosaur. Terima kasih yayah, terima kasih mama. Cukup seronok dia. Dia juga suka meniru aksi dinosaur pemangsa. Bila yayah tanya, dinosaur kais macam mana? Dia buat aksinya. Dia berjalan pun macam dinosaur...perlahan, terbongkok-bongkok dan tangan macam dinosaur. Dinosaur gigit mama, dinosaur gigit mama. Syifa dinosaur ni, Syifa dinosaur ni.

Terbaru, ada filem Walking with Dinosaur 3D movie di pawagam. Bila iklan di TV, sibuk dia minta di rewind dan pause. Nak tengok dinosaur. Mama, Syifa nak dinosaur mati-mati tu. Dinosaur mati-mati? Jenuhla mama google di internet, rupa-rupanya Dinosaur Protoceratops. Ish...dinosaur lagi.

Babies dinosaur saya...

Syifa suka sangat mainan dinosaur. Bermula dengan hanya memiliki lima ekor mainan dinosour yang dibeli di pasar pagi Batang Kali, kini Syifa memiliki hampir 20 ekor mainan dinosaur. Perbagai jenis dan saiz dinosaur Syifa ada. Dari sekecil-kecil baby dinosaur hinggalah sebesar dinosaur Rex. Apa yang menariknya, empat ekor babies dinosaur diperolehi daripada sebiji mainan robot telur. Comel, kecil dan bewarna-warni. Sudahnya tiap kali kami singgah untuk mengisi minyak di stesyen Petronas, dia mesti nak masuk ke dalam kedai untuk membeli mainan robot telur berharga RM1.70 sebiji. Kalau tak diturutkan, mengamukla dia. Tetapi tak semestinya di dalam robot telur tu ada dinosaur. Goncang-goncang.. macam babies dinosaur di dalamnya, rupa-rupanya dapat keychain, subang, pemadam atau coklat. Dah mengamuk si Syifa. Rasa tertipu. Tak beli salah, beli pun salah. 

Selalunya Syifa akan minta dibeli dua biji robot telur, satu untuk Rizqin dan satu untuknya. Walau pun Rizqin kata tak nak, dia tetap kata ini untuk Rizqin. Tapi... dua-dua Syifa tolong pegangkan dan bukak kan. Bukak-bukak tup-tup dapat lain. Kecewa lagi si Syifa sebab tiap kali beli tak dapat babies dinosaurs yang dihajati. Dari beli robot telur, baik beli makanan adik, kata Rizqin. 

Baru-baru ini pula ada iklan baru di TV. Iklan Koko Krunch~Dinosaur. Dalam iklan tu, ada budak lelaki main permainan dinosaur. Syifa memang nak sangat la beli. Esoknya mama ke kedai belikan Koko Krunch~Dinosaur. Tertera pada kotak CD game dinosaurs. Mama tanya di kaunter pembayaran, beli Koko Krunch ni dapat mainan dinosaur tak? Tak ada, dapat CD game dinosaur je, balas jurujual tu. Kalau tak dibelikan mengamuk pulak Syifa nanti. Tak apa la nanti terangkan pada Syifa dalam kotak cuma ada CD dinosaur je. Harap-harap dia faham. Tapi, bila dapat je kotak tu, apa lagi mengamukla Syifa sebab tak sama macam dalam iklan. Dalam iklan kan ada budak lelaki main mainan dinosaur. Dia tipu! Dia tipu! Dah la CD pun tak boleh main. Dia tetap nak dinosaur sama macam gambar di luar  kotak. Kesian pulak melihat kan Syifa yang nak sangat dinosaur. Dikendong kotak Koko Krunch tu ke sana ke mari. Nanti mama beli ye, nanti mama beli ya, mama. Kesian Syifa.

Sunday 15 December 2013

Seronoknya di Fraser's Hill...

Ok... ok.. seperti dijanjikan, ini pula kisah Syifa. Kalau Rizqin ke Langkawi, Syifa pula di waktu yang sama ke Fraser’s Hill. Kebetulan mama menghadiri bengkel di sana, dan Syifa ikut sama menemani mama. Sebelum pergi lagi dia dah seronok. Syifa, nak pergi Fraser’s Hill, nak pergi Fraser’s Hill, nak ikut mama! nak ikut mama. Kali terakhir mama sekeluarga ke Fraser’s Hill pada tahun 2007. Masa tu anak pun tak ada lagi. Kini keadaan di sana ternyata berbeza. Kalau dulu, nak naik kena ikut masa. kini disediakan jalan lain untuk pergi dan balik.

Dalam perjalanan, Syifa lebih banyak tidur, bila dah sampai baru dia bangun. Yeay! Kita dah sampai Fraser’s Hill. Kita dah sampai!. Tak sabar-sabar Syifa nak jalan-jalan menikmati keindahan alam di Fraser’s Hill. Sewaktu keluar makan di Restoran Mimi Strawberi, Syifa bergambar dengan patung harimau. Ada 3 ekor patung harimau dewasa dan 4 ekor anak harimau. Comelnya, ini mama dia.. ini ayah dia.. ini abang dia...dan ini anak dia. Kami bergambar di clock tower. keadaan sejuk, nyaman dan menyegarkan. Melihat bunga-bunga kembang mekar di mini garden berhadapan kedai Mimi Strawberi.

Permandangan malam yang sangat indah. Sedih juga bila berjauhan dengan suami. Dia keseorangan di rumah. Kerana tugas di pejabat, yayah tak dapat nak turut serta. Kalau tak boleh je yayah booking rumah rehat bank di Fraser’s Hill. Tapi tak apa, hujung tahun ni, insyaallah kita semua akan bercuti ke Fraser’s Hill. Hooorey!. Walau bagaimanapun, kami sering bertukar gambar di antara yayah, mama dan Rizqin di Langkawi. Macam-macam aktiviti harian dilaporkan.

Yang lucunya, tiap kali keluar naik van ni, mesti Syifa kata kereta yayah kecik je.. van lagi besar. Ha, yayah bila nak tukar Honda Civic ni... anak-anak dah request nak kereta yang lebih besar. Van yang dalamnya luas membolehkan Syifa bebas ke depan dan ke belakang. Seronoknya dia. Rakan sekerja mama juga seronok melayan telatah Syifa. Setiap kali ke kedai makan, Syifa mesti nak makan aiskrim. Orang lain semuanya sejuk, dia selamba tak berbaju dan makan aiskrim. Sepanjang mama menyiapkan tugasan ini, Syifa leka mewarna lukisannya. Bersungguh-sungguh dia siapkan lukisannya kerana mama janji untuk beri hadiah bila dia selesai mewarna. Bila ditanya padanya, Syifa nak pergi Fraser’s Hill lagi tak? Nak! seronok....pergi Fraser’s Hill. Nanti kita pergi lagi ya, mama.

Fly to Langkawi the Jewels of Kedah...

Dah lama rasanya tak update kisah baru kami... sorry ya readers! Pada 6 hingga 8 Oktober yang lepas, Rizqin telah ke Langkawi bersama Opah, Atok, Aunty Ja dan Pak Su Syafiq. Syifa? Kenapa Syifa tak ikut? Syifa kecik lagi, nanti kalau malam-malam dia nangis cari mama macam mana?. Jadi tinggallah Syifa bersama mama dan yayah. Kesian tak? Ish..ish..tak perlu dikesiankan. Sebabnya Syifa pun ada agenda tersendiri. Nanti mama ceritakan ok.

Rizqin ke Langkawi naik flight tambang murah Airasia - Now Everybody can fly. Seronok sungguh Rizqin naik kapal terbang. Pengalaman pertama la katakan. Sebelum pergi lagi dia dah excited. Mula-mula tu... masa dalam flight Rizqin menjerit Opah, telinga Rizqin pekak Opah, telinga Rizqin pekak Opah!. Haru-biru jugak la dibuatnya, kata Opah. Kelakarkan. Sorry Rizqin, Aunty Ja lupa nak beli gula-gula untuk Rizqin kunyah dalam kapal terbang. Kalau tak, tak adala telinga Rizqin berdengung. Jenuh mereka bergambar di airport dan dalam kapal terbang. Bila Aunty Ja post gambar Rizqin pakai baju Ben10, tarik luggage, wah dah besar anak mama. Dah boleh diharap. 

Aunty Ja kata Rizqin seorang yang berani. Dia tak takut berada ditempat yang tinggi. Tak gayat pun. Naik cable car pun tak takut. Seronok main ombak di Pantai Cenang. Bina istana pasir. Makan seafood segar di Langkawi. Shopping pinggan mangkuk di Idaman Suri, borong chocolate, perfume, kain pelekat, t-shirt dan macam-macam lagi. Sewa Nissan Sentra...jalan-jalan di sekitar Langkawi.. Tiba di hotel, sekali lagi Rizqin buat lawak. Rizqin tanya opah. Opah kenapa rumah opah tak ada dapur? Ini bajet hotel la Rizqin.Tak macam rumah rehat bank. Ya.. tak ya jugak. Selama ni bila bercuti kami menginap di kompleks peranginan atau pun rumah rehat. Boleh masak-masak. 

Ternyata Rizqin sangat seronok ke Pulau Langkawi. Satu pengalaman indah buat dirinya. Berhari-hari dia bercerita kepada kami pangalaman pertamanya menaiki kapal terbang. Bila nampak kapal terbang di udara, dia akan kata Rizqin dah naik dah. Rizqin dah naik dah. Terima kasih kepada semua kerana membuat impian anak / cucu ini menjadi kenyataan. Lepas ni, Opah nak belanja kita semua ke Langkawi naik kapal terbang. Yayah.. jangan lupa booking rumah rehat bank awal-awal tau. Takut penuh nanti. Terima kasih semua. Sayang opah, sayang atok...kami sayang semua.

Friday 8 November 2013

Apa dah jadi si KIKO mama?

Ingat tak mama pernah cerita Syifa suka baju abangnya Rizqin?(Baca ini). Kiranya dia suka pakaian lelaki, girl-girl ni dia tak berapa gemar. Walaupun bajunya cantik like a princess, gaun, ribbon, seksi... sikit pun dia tak minat. Minatnya tetap pada baju abangnya Rizqin. Lebih-lebih lagi kalau Rizqin pakai jersi, dia akan jerit suruh Rizqin bukak baju. Demi menuruti kehendak adiknya, Rizqin beralah. Biar lah dirinya tidak berbaju,sekadar memakai pampers asalkan kehendak adiknya dituruti. Walaupun kami terangkan pada Syifa, baju abangnya busuk, kotor, peluh, basah, muntah, ada taik sekalipun (tipu-tipu) dia tetap nak pakai baju abangnya. 

Sungguh pun Rizqin ini baru berumur 3 tahun 10 bulan, bila dia bercakap dan tindakannya menampakkan dirinya seorang abang yang penyabar. Jangan marah dia mama, jangan marah dia...tak apa Rizqin faham. Begitu juga mainan, segala mainan baru yang dibeli untuk Rizqin akan dirasmikan oleh Syifa dahulu. Pada hal masing-masing dah ada mainan sendiri. Rizqin faham apabila kami katakan padanya adik pinjam sekejap, nanti Rizqin main ya! Dia akur dan menuruti arahan kami. Kalau kami marahkan Syifa atas kesalahan yang Syifa lakukan, Rizqin cepat-cepat berkata Jangan marah dia mama, jangan marah dia mama, dia tak salah, dia tak salah.

Pelindung? Ya, dia memang seorang pelindung kepada adiknya Syifa. Buktinya, jika adiknya mahu naik kereta  mainan yang sedang dinaiki oleh budak lain, Rizqin akan kata pada budak itu, Kamu dah besar, bagi dia main. Bangunlah budak tadi dan terus Rizqin beri kereta mainan kepada adiknya Syifa. Syifa pulak kalau pergi kedai dia mesti ingat abangnya Rizqin. Beli barang satu untuknya dan satu untuk Rizqin. Dia tak pernah lupa belikan coklat, gula-gula, aiskrim, buih belon, keropok, mainan untuk abangnya. Bila kami tanya Syifa sayang abang? Sayang....sambil melentok-lentokkan kepalanya.

Wednesday 3 July 2013

Tolong Saya Opah...

Ha…sepah-sepahkan la barang Pak Su, habis pecah sebotol minyak wangi. Akhirnya tapak kaki terpijak kaca. Sudahnya meraungla Rizqin, kesakitan. Panik syifa melihat darah keluar. Selalunya Syifa sering bertanya, darah macam mana, mama? Darah warna merah, jawab mama. Merah macam mana mama? Merah macam kereta bomba Rizqin. Diulangnya soalan berkali-kali. Darah macam mana, mama? Darah macam mana, mama? Sekarang ini, bila dah tengok darah keluar dari tapak kaki Rizqin, melopong mulut Syifa. Ooooo.... darah.
 
Mulanya Rizqin tak benarkan sesiapa pun sentuh kakinya. Akhirnya Opah la jadi Doktor in the house. Ala, kecik je lukanya, sapu minyak gamat dah ok. Di rumah mama sengaja menyakat Rizqin. Heee..kaki dia luka, berdarah. Tak lah, dah elok dah, opah jadi Doktor, pakai cermin mata. Jawab Rizqin.
 
Esok paginya, di rumah Atok sengaja Rizqin jalan terjengkit-jengkit padahal tak sakit pun kakinya. Opah kata, dua-dua anak mama HERO ada aje benda yang dibuatnya. Bila Opah masak di dapur, hati-hati kalau mereka berdua senyap. Jeng...jeng..jeng conteng dinding, main lipstik Aunty Ja, punggah baju, tuang air 1 jag atas lantai, banjir! banjir! berenang macam duyung.
 
Dulu masa mama kecik-kecik, bila luka Opah mesti kata... ala, sakit sikit je.. tak apa jauh dari perut. Bersalin lagi sakit.Jadi kata-kata Opah itu adalah penawar luka dari sakit, jadi tak sakit.

Thursday 30 May 2013

Rasai JJCM Satay Kajang 1917

Seperti yang dijanjikan, kali ini opah pula nak belanja kami semua makan malam sempena meraikan Hari Lahir Pak Su Syafiq. Sorry Pak Su, lambat celebrate birthday dan minggu depannya...dah nak ke Pulau Pangkor untuk Kursus Transformasi Minda. Asalnya nak ke Fiske Steakhouse sekali lagi,  sebaliknya kami merancang untuk makan Satay Kajang 1917. Bukan di Kajang tau.. tapi dekat je di Tuu... Dia Pak Tam, Selayang. Ada gerai satay di luar restorannya. Mama yang cadang kita semua pekena Satay Kajang 1917 ini. Pergh.. sedap satay ini sebabnya tiap kali kami ke rumah Mak Nani, mesti dibelanjanya kami makan Satay Kajang 1917 atau Satay Station.

Seperti biasa lepas maghrib kami JJCM Tuu.. Dia Pak Tam, Selayang. Kami order 60 cucuk satay (40 daging dan 20 ayam beserta nasi impit). Adunan rempah, serai, perapan dan sataynya dibakar dengan cukup sempurna. Bahagian lemak tu yang paling best, padahal bahagian itu la yang paling bahaya – kolesterol. Dagingnya juga lembut dan mudah bagi Syifa mengunyahnya. Syifa sama macam mama, peminat satay. Memang diakui sedap oleh semua. 

Ditambah dengan hidangan bihun sup, sup campur, mee sup, nasi goreng USA, nasi goreng paprik dan nasi campur. Tapi, supnya sejuk. Sedikit pun tak berasap kuahnya. Pak Su Syafiq pulak makan nasi campur pada hal yayah dah pesan nasi campur tu lauknya dah siap dimasak pagi tadi / tengah hari punya. Sekali dia pergi ambil jugak. Kalau order yang goreng-gorengkan sedap. Ternyata, Satay Kajang 1917 cawangan Selayang amat sedap dan kami siap bungkus untuk dibawa pulang.Terima kasih opah kerana belanja makan...murah rezeki opah. Amin.

Wednesday 29 May 2013

Rasai JJCM Fiske Steakhouse...

Tanggal 26 Mac 2013 merupakan hari bermakna buat mama sepanjang bergelar penjawat awam. Alhamdulillah mama di antara 753 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2012. Setiap penerima masing-masing membawa pulang Sijil Penghargaan dan Bon Simpanan Premium BSN bernilai RM 1,000.00. Dan...semestinya rezeki yang diperolehi ini dikongsikan bersama keluarga tercinta.

Kami sepakat nak makan steak. Bab-bab mencari lokasi steak yang sedap, serahkan kepada Mr. Google. Banyak tempat makan steak yang best di luar sana yang dicadangkan. Namun, Fiske Steakhouse jugalah yang menarik perhatian kami semua. Nak makan set asam pedas Melaka pun ada....

Maka pada 5 April (Jumaat) yang lalu, selepas solat maghrib kami semua ke Setiawangsa JJCM Fiske Steakhouse. Terlalu ramai pelanggan di sini. Parking pun susah. Antara menu yang dipesan ialah:-

  • Mix grill (served with mashed potato, coleslaw, fresh vege, baked potato, baked bean, sliced lamb, beef dan chicken) RM 20.00 x 2 set. (ini menu mama dan Aunty Ja)

  • Special Chicken Chop (served with mashed potato, coleslaw, fresh vege, baked potato, spaghetti  and grill chicken) RM 14.00 x 2 set (ini menu yayah dan Pak Su Syafiq)

  • Special Lamb Chop (Grill) (served with coleslaw, fresh vege, baked potato, mashed potato and spaghetti) RM 15.00 (ini atok punya)

  • Grill Lamb Chop (served with mashed potato, baked potato, coleslaw, fresh vege, baked potato and spaghetti) RM 15.00 (ini opah punya)

  • Spaghetti Bolognaise served with minced beef and tomato. RM 6.90 (tara...Syifa and Rizqin punya)

  • Minuman : Choc Oreo Ice Blended RM 4.90 x 2, tomato susu RM 4.00 dan laici RM2.50


Servicenya memang cepat. Steaknya lembut, sedap dan presentationnya menarik. Harganya juga amat berpatutan. Cuma, pelanggannya terlalu ramai dan ada yang terpaksa menunggu orang lain habis makan dan cop tempat duduk. Malam tu, semua orang kekenyangan. Opah kata nak datang lagi, dan kali ini opah pulak nak belanja. Alhamdulillah, syukur di atas nikmat, rezeki dan kebahagiaan yang Allah kurniakan. Kita tunggu giliran yayah belanja dinner 10 year's of Excellent Service pulak. Dengar kata dapat Gold Bar. Yahooo..

Sunday 14 April 2013

Dialog Cucuku @Anakku Sayang

Dialog 1
Syifa    : Kata nak pergi mana Iqin?
Rizqin : Kamu nak pergi Rumahdin, beli bateri. jawab Rizqin.
Aik, kata.. kamu.. Sepatutnya Kita nak pergi mana, Iqin? Saya nak pergi Mydin, beli bateri.
Ha,ha,ha Rumahdin? Sejak bila pula Rizqin membahasakan dirinya kamu? Atok la ni, guna perkataan kamu tiap kali bertanya kepada Rizqin. Contohnya: Kamu pergi mana semalam, Rizqin? Lepas tu Rizqin jawab, Kamu pergi Econsave beli mainan. Saya! Kemudian dia betulkan Saya pergi Econsave beli mainan.
 
Dialog 2
Opah bertanya kepada Atok. Abang nak buah ke? Bila Rizqin dengar dia terus tanya. Opah, Rizqin nak susu ke? Tiap kali dia nak kan sesuatu dia mesti guna perkataan ke. Dari ayat penyata dah jadi ayat tanya pula.

Dialog 3
Adik tak nangis, adik dah besar. Kata Nur Syifa. Mandi..segar..tunduk... adik tak nangis pun. Tapi sebaliknya dia nangis tak tahan nak dengar.

Dialog 4
Pergi rumah Mak Nani di Selayang. Mama tumpang sembahyang dalam bilik Mak Nani. Pasang kipas angin jenis berdiri. Rizqin dekatkan mulutnya pada kipas yang berpusing laju dan berkata habuk, habuk, habuk....habuk, habuk, habuk...Mak Nani dengar Hei, mana rumah Mak Nani ada habuk la Rizqin. habuk, habuk, habuk....habuk, habuk, habuk... ???
 
Dialog 5
Rizqin dan Syifa mundar-mandir di depan kedai orang jual kuih. Atok ajak balik sebab dah puas bermain di taman permainan. Tak Nak! Nak tunggu orang bagi kuih, kata Syifa. Kuat pulak tu dia cakap, sampaikan si penjual kuih tu dengar la si Syifa ini nak minta kuih FREE. Sebabnya dah dua kali si penjual kuih ni bagi kuih karipap FREE pada Syifa. Malunya..

Si Rizqin pulak tanya, atok kenapa opah (orang jual kuih) ni gigi dia rongak atok? Dia tak ada gigi, gigi dia rongak, tak gosok gigi, jawab Rizqin. Ha..Ha..Ha Ketawa Rizqin.

 


Bukan Nyanyi...Zikir

Semasa mama mengandungkan Rizqin dan Syifa, mama cukup suka mendengar alunan zikir Asmaul-Husna 99 nama Allah. Masa tu kami menetap di Rawang dan belum ada lagi kemudahan Astro Beyond PVR. Jadinya, jam 8.00 malam, mama dah duduk depan TV untuk mendengar Indahnya Iman, Astro Oasis sambil  mengusap-usap perut supaya baby tenang mendengar nama-nama Allah dan alunan-alunan zikrullah. Alhamdulillah, apabila anak-anak lahir, berzikir memuji Allah tidak pernah lekang dari mulut si anak kecil kami. 

Rizqin setiap masa dia berzikir. Tak kira mandi, main, berjalan, makan pasti dia akan berzikir. Begitu juga dengan adiknya, Nur Syifa. Minat mereka timbul apabila melihat klip zikir Asmaul-Husna 99 nama Allah dari Dr. Ary Ginanjar menerusi Indahnya Iman, saluran Astro Oasis. Ada bulan, bintang, galaksi, planet di alam semesta dalam klip video tersebut. Rizqin suka sangat tanya, apa tu mama? apa tu mama? Oh, itu bulan. Bukan bulan, itu earth, kata Rizqin. Mereka kagum melihat objek yang ada di langit. Kadang-kadang ada objek-objek yang berterbangan di angkasa dan sinaran bintang yang tak terhitung jumlahnya. Hari-hari mereka dengar, lama-lama mereka ingat dan mulut semakin lancar menyebutnya. Walaupun kadang-kala merapu sebutannya, tapi rentak alunan zikrullah tetap sama. Pandai Rizqin nyanyi, puji mama. Bukan nyanyi, zikir! balas Rizqin. Dengan adanya kemudahan Astro Beyond PVR di rumah, anak-anak boleh ulang tayang dan dengar pada bila-bila masa saja mereka mahukan.

Kali ini handphone yayah pula menjadi sasaran si kecil untuk mendengar zikir. Dalam kereta, waktu makan, sebelum tidur pasti dimainkan zikir ini menerusi handphone. Termasuklah handphone Aunty Ja menjadi gajet Rizqin untuk mendengar zikir. Siapa suruh offer...kan cepat smartphone habis bateri. Kalau mama bagitahu Rizqin dalam Samsung Tab pun boleh dengar zikir, habisla tab mama jadi sasaran pula.

Tuesday 12 March 2013

Ragam Pesakit

Yayah : Syafi, makan ubat sayang.
Rizqin : Tak nak, letak tuala basah je.
Yayah : Syafi, makan ubat sayang.
Rizqin : Tak nak, minum susu je.
Yayah : Syafi, makan ubat sayang.
Rizqin : Tak nak, minum air masak je.

Yayah : Syifa, makan ubat sayang.
Syifa  : Tak nak, minum air masak je. 

Opah : Rizqin, makan ubat sayang.
Rizqin :Tak nak, letak tuala basah je.
Opah : Rizqin, makan ubat sayang.
Rizqin :Tak nak, minum susu je.
Opah : Rizqin, makan ubat sayang.
Rizqin :Tak nak, minum air masak je.

Opah : Syifa, makan ubat sayang.
Syifa  : Tak nak, minum air masak je. 

Kalau macam tu, bila lah nak baiknya demam tu kalau takut makan ubat. Kena paksa. Sampaikan kena pegang kaki, tangan dan mulut. Lepas tu muntah. Habis ubat keluar semula. Paksa makan lagi sampai ubat benar-benar masuk ke dalam tekaknya. Akibat takut makan ubat, Rizqin pernah tendang perut atok yang sedang mengepit kakinya. Sakit-sakit pun, kuat betul tenaga budak ni. Opah kata, sama macam mamanya, takut makan ubat. Hehehe...

Rajuk dan Pujuk

Pernah suatu ketika, Rizqin nak siram rumput di Taman Syifa, diambilnya air secawan. Waktu itu, mama sibuk mencuci pinggan di dapur. Habis secawan air disiramnya, kemudian berlari semula ke dapur untuk tambah air lagi. Sewaktu hendak berjalan keluar, air yang dibawanya tertumpah dan habis lantai basah. Apa lagi, mama pun meninggikan suara dan Rizqin terkejut. Jangan marah mama, jangan marah mama, kata Rizqin.

Mama buat tak tahu je dan terus sambung mencuci pinggan. Mama tak perasan pulak, si Rizqin menyorok disebalik tiang. Dia datang semula  dan kembali menyorok. Macam main cakcak pulak. Rupa-rupanya dia merajuk. Cepat-cepat mama selesaikan kerja dan terus menghampirinya. Rizqin berkata, Rizqin kan zuriat mama. Mama jangan la marah. Budak sekecil Rizqin ni pandai betul ambil hati mama, perkataan ZURIAT tu. Memang selalu mama sebut, Rizqin kan zuriat mama. Rizqin kan zuriat mama. Lama mama tunggu Rizqin, 3 tahun. Kemudian Rizqin membalas, Rizqin tunggu dalam perut mama makan keju. Hahaha kami sama-sama ketawa..



Friday 25 January 2013

Selamat Hari Lahir Semua...

J A N U A R I  merupakan hari lahir insan-insan yang kami sayang. Apa tidaknya, tiga orang menyambut hari lahir pada bulan ini. Yayah, Atok dan Aunty Ja. Oleh kerana birthday mereka pada bulan Januari, maka sejak bulan Disember telah diperuntukkan Gaji + Bonus = Hadiah dan JJCM. Mama cadang nak celebrate makan itik panggang. Pergh...sedap tu. Yayah pun setuju sangat-sangat. Last kami makan itik masa malam Raya Aidilfitri 2009. Opah masak kari itik. Sedap sungguh kari Opah. Berselera sungguh yayah makan malam tu...Kami akui Opah masak apa pun memang sedap. CHAMPION! Malam raya rumah kami menjadi rumah No. 1 jemaah surau datang bertakbir raya. Atok awal-awal dah bagitahu dengan kawan-kawan suraunya, menu malam ini ialah itik. Ramai sungguh jemaah surau yang datang. Alhamdulillah tiap-tiap tahun begitu.

Jadi, sempena hari lahir atok nak belanja kita sekeluarga makan di luar. Yahoo, atok belanja makan! Ish..orang yang dirai pulak yang nak belanja. Bestkan Rizqin, seronokkan Syifa! Atok dapat dividen ASB. Maka mama dengan pantasnya google mencari restoran yang menyajikan masakan itik halal. Dalam fikiran mama sudah tentu Restoran Cina Muslim Haji Sharin Low, Prima Seri Gombak menjadi pilihan. Pergh...itik bersaiz large harganya RM52.00. Itu baru order itik belum lagi menu-menu sampingan ketam, butter prawn, ikan siakap, ayam.... yang bakal kami berlapan order nanti . Mahu malam tu berhabis RM350++. Cadangan Opah, daripada makan di luar, lebih baik yayah beli itik dan Opah masak kita semua makan di rumah. Ala, tapi kita semua nak celebrate makan di luar. Atok belanja. Rizqin dan Syifa nak jalan-jalan.

Tak apala, nanti kalau kawan yayah ada menjual itik, yayah beli dan kita masak kari itik. Bukannya tak ada itik dijual di pasaraya / pasar borong, tetapi tidak diyakini dan tiada tanda halal dipaparkan. 

Di Prima Seri Gombak memang banyak tempat makan. Pilih sahaja citarasa sama ada inginkan masakan melayu, western, mamak, arab, sup dan sebagainya. Semuanya ada. Akhirnya kami setuju JJCM di JM Bariani House. Malam tu, lepas solat maghrib kami ke JM Bariani House Prima Seri Gombak. Biasalah anak-anak tak nak naik kereta dengan kami, suka sangat naik kereta Pak Su.

Mama awal-awal dah reserve tempat ni. Menu yang kami pesan ialah 7 nasi bariani kosong + ayam bariani +  2 daging bariani + kambing bariani + ayam goreng berempah + ayam masak merah + kambing kuzi + papadom dan 2 set tauhu bakar. Air limau suam, air sirap bandung, milo ais, teh ais dan 3 air suam.  Makanannya sedap dan nasinya panjang. Servisnya pun cepat. Total semuanya RM 125.00.
Tauhu bakarnya memang sedap. Dua set kami order. Kulitnya nipis dan rangup.Cubalah! Kenyang sungguh malam itu. Terima kasih atok kerana belanja makan. Murah rezeki atok.                                                                                       
 

                                   




                                                                                                        Atokkan segak dan suka bergaya jadi kami adik-beradik hadiahkan atok baju batik ekslusif, kemeja dan  kurta. Yayah dah dapat hadiah untuk kelengkapan smart homenya. Aunty ja pun hadiahnya diterbangkan khas dari Abu Dhabi. Sukalah tu...Sepanjang bulan Januari ni, Syifa nyanyi Happy Birthday To You, Happy Birthday To You. 

Semoga atok, yayah dan aunty Ja dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dilindungi Allah, sihat tubuh badan dan bahagia selalu. Kami tahu kekuatan atok adalah KAMI mama, along, jaja, syafiq, rizal, rizqin dan syifa. Dan kami anak-anak bangga menggunakan namamu di belakang nama kami. 

SELAMAT HARI LAHIR SEMUA....