Wednesday 5 December 2012

Rajuk Si Anak Kecil...

Sejak kebelakangan ini, anak-anak suka sangat merajuk. Ala sengaja dibuat-buatnya merajuk tu. Konon-konon memencilkan diri dan nak dipujuk-pujuk macam baby. Tapi tak apalah sayang, sebab mama pun memang layan anak-anak macam baby. Bila seorang dah merajuk, seorang lagi akan ikut merajuk. 

Syifa bila merajuk, dia terus berlari terkedek-kedek ke dapur atau Taman Syafi. Tunggu di situ sehinggalah mama datang memujuknya. Selagi mama tak datang memujuk, selagi itulah dia akan diam di situ. Begitu juga dengan Rizqin. Bila merajuk lari ke bawah meja makan. Tunggu di situ sehinggalah mama datang memujuknya. Kadang-kadang sengaja mama menyakat mereka berdua sebabnya, comel sangat bila tengok wajah mereka merajuk. Pandai sungguh mereka mengekspresikan emosi.

Pernah pada suatu pagi, sewaktu kami sedang duduk berehat sambil makan roti gardenia dan minum air milo kotak di hadapan bangunan pejabat jualan Panorama Alam Tropika, tiba-tiba Syifa berlari. Entah kenapa dia menjauhkan diri dari kami. Mama dan Rizqin mengejarnya dan menjerit-jerit memanggil Syifa! Syifa! Tunggu mama, sayang! Tunggu mama! Rizqin juga menjerit memanggil adiknya. Syifa terus berlari terkedek-kedek tanpa menoleh ke belakang. Larian Syifa terhenti apabila dia terkejut melihat ada bikers berehat di bawah pokok. Mujur ada orang di situ. Terhenti lariannya sebab dia takut dengan orang yang tidak dikenalinya. Segera dia menoleh ke belakang dan berpatah balik. Rupa-rupanya dia merajuk sebab hadiah robot telur mama berikan pada abangnya. Ala, mainan mesin 20 sen / 50sen di kedai runcit tu la, kami gelarkan robot telur. Ish...itu pun nak merajuk.  

Syifa bila kena marah, air matanya akan bergenang. Kemudian menjebik. Jadi kenalah mama pujuk. So....cute. Rizqin pula bila kena marah, dia pun akan menjebik. Mama tengok ni, tengok ni muka Rizqin. Eh, Rizqin jangan la merajuk, mama tak suka la tengok Rizqin merajuk. He..he..he.. tapi sebenarnya mama suka.

Kelakar la keletah anak-anak ini. Bila merajuk dia akan bagi tahu. Terutamanya  Syifa. Aku merajuk ni mama, Aku merajuk ni. Aku? Pengaruh dialog Upin dan Ipin la. Dulu tak ada pun dibahasakan dirinya Aku. Dia guna Saya atau Annur. Kelakarkan? merajuk pun bagi tahu. Aku menangis ni yayah, aku menangis ni. Sambil menunjukkan matanya yang mengalir. Dia mengadu pada yayahnya yang dia sedang menangis dan minta dipujuk. Bila yayah bertanya Kenapa menangis? Siapa buat? Abang buat. Report kat yayah la tu....Syifakan anak manja yayah. Anak dara yayah. 

Begitu juga dengan Rizqin. Mama Iqin merajuk ni. Iqin merajuk mama. La, merajuk ke? Meh, mama pujuk. Tak pasal-pasal dia merajuk. Saje la tu ngada-ngada. Dah, dah... jangan nyakat dia orang, Sayang. Kan dia orang tengah diam. Karang dia orang menangis lagi susah. Sebetulnya memang best nyakat budak-budak kecil ni.

Tapi sejak akhir-akhir ni, bila mama baru mula nak marah, Syifa dengan segera memeluk mama, Sayang mama! Sayang mama! Diciumnya pipi mama berkali-kali. Bijak sungguh dia menyejukkan hati mama. Dia tahu kalau dia buat salah, mama tak jadi nak marah bila dia cepat-cepat cium mama.

Monday 3 December 2012

Serupa Sama Duplicate...

Rizqin sungguh pandai meniru bunyi dan aksi. Pernah suatu ketika sewaktu dalam perjalanan kami ke Pekan Batang Kali, Rizqin tiba-tiba meniru bunyi lori jual tilam.

Brit, brit, brit, brit...tilam-tilam, tilam lama tukar baru. Brit, brit, brit, brit...Tilam-tilam, tilam lama tukar baru. Ketawa kami berdekah-dekah dengar sebutan si Rizqin. Bunyi hon lori dari mulutnya tu yang buat kami tak tahan dengar. Sama macam lori jual tilam. Berkali-kali yayah suruh dia ulang. Ha, ha, ha kelakarnya. Tergelak sampai rasa nak pecah perut dibuatnya. Rizqin kata bunyi Brit, brit, brit, brit nya sama macam apa yang dia dengar di rumah Opah, rumah kami dan rumah Atok. Lagi la kita orang gelak. Pandai anak mama!.

Ini pula kisah sewaktu umurnya setahun. Sedang dia duduk menjenguk-jenguk ke tingkap sambil memerhatikan kereta lalu-lalang, tiba-tiba siren berbunyi. Apalagi terkejut Rizqin dibuatnya. Berlari-lari si anak kecil ini mendapatkan Opah dan Atuknya. Tak tentu hala dia mencari mereka. Rupa-rupanya atok di bilik air dan Opah sedang sembahyang di dalam bilik. Tiada siapa pun di ruang tamu. Menangis Rizqin terkejut dengar bunyi siren.

Tapi itu kisah dua tahun lalu, kini dia tidak lagi takut apabila mendengar bunyi siren van nyamuk Kementerian Kesihatan. Eng, eng, eng..... Disebutnya INI ADA SATU PENGUMUMAN. Assalammualaikum dan salam sejahtera. Sila pastikan pintu rumah anda ditutup. Makanan dan minuman anda ditutup. Sebentar lagi kami akan menyembur nyamuk. Pergh..pandai betul si Rizqin bagi announcement.

Dulu dia takut bila dengar bunyi dril. Sebab yayah suka takut-takutkan dia. Kasihan Rizqin. Tapi kini dia tak takut lagi. Berani! Enggg, engggg, enggg...Siap tangan umpama mendril. Kadang-kadang diambilnya dril yayah dan didril ke dinding atau pintu stor.  Hebat! Si adik pula, apa abangnya buat, dia pun buat jugak. Tiru aksi abangnya 100%. Samakan, samakan abang!

Dia Tidak Seperti Dulu...

Pada 21 September 2012 (Jumaat), Opah dan Pak Su Syafiq telah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan Fardu Haji. Selama 47 hari mereka berada di Mekah dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 November 2012. Ini adalah kali kedua Opah menunaikan fardu haji dan kali ini pula ditemani oleh Pak Su Syafiq yang pertama kali menunaikan haji. Kali pertama Opah dan Atok menunaikan fardu haji adalah pada tahun 2000. Alhamdulillah, syukur mereka dapat ke Tanah Suci sekali lagi. 

Sepanjang ketiadaan Opah, atok la yang menjaga dua orang cucunya ini. Mama juga turut mengambil cuti dua hari dalam seminggu untuk bergilir-gilir menjaga anak-anak. Begitu juga Aunty Ja dan yayah. Kami sama-sama berkorban dan bantu-membantu dalam pelbagai perkara. Sebagai ibu bapa perkara yang meresahkan kami semasa ketiadaan Opah ialah Nur Syifa. Bolehkah Nur Syifa dijaga tanpa Opah? Kerana sebelum ini Syifa setiap masa berkepit dengan Opah je. Aduh, macam mana ni??? 

Syukur, Syifa tidak lagi menangis-nangis macam selalu. Berbeza sungguh perangai Nur Syifa sepanjang atok menjaganya. Kalau dulu bila mama dan yayah keluar bekerja, Syifa pasti menangis. Nak ikut mama! nak ikut mama! Berguling-guling di atas lantai sehingga menghempas-hempaskan badannya. Kalau didukung dia akan mengeraskan badan untuk melepaskan dirinya. Sampai bengkak-bengkak matanya menangis. Serba tak kena. Dipujuk tak nak dan kadangkala kami tak tahu apa sebenarnya yang dia mahukan. Alhamdulillah doa Opah di hadapan Kaabah dimakbulkan Allah. Syifa kini lebih tenang. Syukur kepadaMu, Ya Allah.

Bila mama pergi kerja, Syifa akan hantar mama ke muka pintu dan melambai-lambaikan tangannya sambil berkata Bye-bye mama! Bye-bye mama!. Stail melambai, tangannya digerakkan sedikit saja. Comel sungguh bila melihatkan tangannya melambai. Cutenya Syifa!. Ceria wajahnya. Terus dia berlari masuk ke rumah dan sambung menonton kartun di Channel 616 Cartoon Network, Oggy and Cockroaches.

Tapi, ada tapinya...sebaliknya bila Rizqin hantar mama ke muka pintu, dia pula yang mengada-ngada. Nak ikut mama! Nak ikut mama!. Dan dia sendiri akan berkata Mama kerja, cari duit beli mainan. Mama kerja, cari duit beli mainan. Nanti gaji mama beli mainan ya? Ya...nanti gaji mama beli, janji mama. Rizqin nak lori pasir, nak lori trailer, nak lori siput, nak lori korek tanah. Ishh... macam-macam Rizqin nak! kata Rizqin. Ternyata Rizqin memang bijak bercakap dan pandai memujuk hatinya.

Menarik untuk kita kongsikan bersama :
Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda :
Janganlah kamu pukul anak-anak kamu disebabkan mereka menangis dalam masa setahun.
Kerana pada empat bulan pertama kelahirannya Ia bersyahadat LAA ILAAHA ILLALLAH. Pada empat bulan kedua pula ia berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dan pada empat bulan seterusnya pula ia mendoakan kedua ayah bonda nya. ( H.R. Abdullah Ibnu Umar r.a. )

Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa tangisan anak di waktu kecil pada bulan pertama adalah tanda ia bertauhid kepada Tuhan Nya dan empat bulan kedua pula ia membacakan selawat kepada Nabi nya dan empat bulan seterus nya ia memohon istighfar untuk kedua ayah bondanya.

Bersabda Baginda Rasulullah s.a.w. :
Anak-anak sebelum sampai ia baligh maka apa-apa yang di perbuat nya daripada kebaikan maka di tuliskan untuknya dan kedua ibu bapanya. Dan apa yang diperbuat nya daripada kejahatan maka tiadalah ditulis untuknya dan tidak pula di tulis untuk kedua ibu bapa nya. Apabila ia telah baligh maka berlakulah yang ditulis itu atasnya iaitu segala amal baik atau buruknya. ~* ( H.R.Imam Anas bin Malik r.a.).

Tuesday 30 October 2012

Rajin Adik Rajin...

Syifa sememangnya anak yang boleh diharap. Buktinya, bila atok suruh Rizqin ambil barang, Syifa yang akan bergegas berlari mendapatkan barang yang disuruh. Rizqin kalau disuruh, dia akan tanya mana? mana? mana?. Padahal barang tersebut ada disebelahnya. Syifa juga la yang pantas berlari, pergi ambil. Apa sahaja arahan, Syifa turuti. Patuh.

Syifa juga adalah anak yang rajin membantu mama mengemas. Bukan setakat mengemas mainan malah mengemas rumah. Si manja yayah ini akan pastikan semua peralatan seperti jip, kuda, stool, kereta control, meja IKEA disimpan rapi dan tersusun. Jika hendak keluar rumah pula, Syifa akan simpan semua permainan dan pastikan rumah dalam keadaan kemas termasuklah kusyen-kusyen yang ada di lantai. Habis disusunnya bantal-bantal kusyen dan diletakkan semula di atas sofa. 

Ditangannya juga akan ada kain pengelap basahan untuk dilap habuk-habuk pada almari, kabinet TV dan sofa. Kain pengelap kering pula, akan digunakan untuk mengeringkan pinggan mangkuk dan cawan TUPPERWARE . Rajin sungguh anak dara yayah ini. Kata Opah, Syifa suka membantunya melipat kain. Dia akan tolong Opah angkat kain jemuran dan letakkan di depan TV untuk segera dilipat. Terkedek-kedek Syifa berlari membawa kain, letak dan berpatah semula, sehingga kain selesai diangkat. 

Aunty Ja juga kagum dengan Syifa yang rajin. Disuruhnya ambil remote ASTRO, handphone, buang plastik gula-gula semua segera dibuatnya. Cepat dan pantas. Ada yang berpendapat, sikap rajin anak perempuan itu dipengaruhi oleh kerajinan bapanya. Betul ke? Rasanya betul sebab yayah memang seorang ayah/suami yang rajin membantu mama melakukan kerja-kerja rumah. Yayah seorang yang pembersih dan mahukan smart homenya sentiasa kemas, bersih, selesa, cantik dan serba lengkap. Jangan risau yayah...sehingga kini SMART HOME  kita masih di Ranking No.1. Cayalah!

Monday 22 October 2012

Jangan Sepah-Sepahkan Rumah Kita

Sebelum masuk tidur, anak-anak akan kemaskan semua permainan dan simpan di dalam stor. Cuma mainan yang hendak dibawa ke rumah atok akan diletakkan di atas meja makan untuk dibawa pada keesokkan paginya. Selagi tak kemas, tak boleh naik tidur! Alhamdulillah, sehingga kini anak-anak patuh pada arahan dan tahu tiap kali hendak masuk tidur, mainan perlu dikemaskan. Mereka juga tahu mainan-mainan besar seperti basikal, kereta, jip perlu masuk parking. Cewah...dah macam amalan persekitaran 5S pulak. 

Bila ada tetamu datang khususnya yang membawa anak-anak, stor permainan ini akan dikunci. Pernah satu ketika, anak saudara yayah datang ke rumah, habis semua mainan kami simpan di dalam stor berkunci. Sebabnya tak nak mainan dipunggah-punggah dan berselerak. 

Malamnya, apabila Rizqin nak main mainan, tiba-tiba Rizqin berlari mendapatkan yayahnya. Alamak, tak boleh bukak, dah rosak!. Kelakar melihatkan aksi Rizqin sambil bahunya terangkat dan tangannya menadah seolah-olah kecewa sangat. Terkejut yayah dengan keluhan anaknya ini. Segera yayah menuruti kehendak anaknya menuju ke stor bawah tangga.

Tersenyum yayah. Pura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku. Nanti yayah dril, nanti yayah dril, kata yayah. Sehingga hari ini, apabila nak buka stor, yayah akan berpura-pura menggunakan drill untuk membuka pintu. Padahal ditangannya terselit kunci stor dan drill. Tak baik menipu budak...

Tuesday 7 August 2012

Cucu Kena Marah-Part 2

DULU ...., Kalau budak berdua tu kena marah. Tak berani dia orang angkat muka. Tunduk je. Lepas tu, Rizqin kata pada opah, Opah marah ke? marah? Terus Opah tak jadi nak marah. Sebab Rizqin pandai ambil hati orang. Pandai pujuk orang. Bijak bercakap. Syifa pula, bila orang marah tak boleh itu ini, dia ucapkan terima kasih. Terima kasih Opah. Sambil melentok-lentokkan kepalanya. Sekali lagi, tak jadi marah. Sebab Syifa pandai sejukkan hati orang. Dia kecil tapi bijak bercakap. Comel dan keletah sungguh anak-anak kami. Sayang cucu opah. Sayang cucu atok!. (Baca ini Part 1)

KINI..., bila kena marah anak-anak berdua ini akan kata “Opah, opah, jangan marah ye! jangan marah ye! jangan marah!!! Sambil aksi tangan macam suruh BERTENANG-BERTENANG. Kelakar bila melihatkan aksi mereka dua beradik ni. Jadinya, anak-anak dah bagi isyarat awal supaya kita kawal diri, kawal perasaan supaya jangan marah- marah, redakan hati dan bawa bersabar. Ingat...SABAR ITU SEPARUH DARI IMAN. 

Jika seseorang datang membuat kita marah, maka dia adalah "guru" yang hendak mengajar kita erti sabar.

Sedekah di bulan Ramadhan

Walau pun perut telah kenyang berbuka puasa, lepas terawikh masih nak makan lagi. Lantas Aunty Ja terus mendail 1-300-888-333 talian hello, Domino’s. Best ni, ada orang nak belanja makan!!! 

Domino’s, Domino’s… Rizqin berlari ke pintu apabila terdengar ketukan Domino’s dah sampai. Malam itu, Aunty Ja belanja dua regular pizza iaitu Tuna Temptation dan Aloha Chicken. Kegemaran Rizqin turut tidak dilupakan, lasagna satu kotak khas untuk Rizqin. Wah, sedapnya makan. Habis satu kotak lasagna, Rizqin makan. Kenyangnya, kenyangnya sambil mengusap-usap perutnya yang dah penuh.

Bila dah selesai makan, Aunty Ja bertanya pada Rizqin.
Aunty Ja           :           Siapa belanja ni Rizqin?
Anak kami yang sememangnya seorang yang bijak, petah dan keletah dengan selambanya menjawab.
Rizqin                :           Orang hantar.
Aunty Ja           :           Siapa belanja ni Rizqin?
Rizqin               :           Orang hantar.

Betul la jawapan Rizqin, orang hantar. Dalam hati kami semua, mesti Rizqin fikir orang Domino’s tu sedekah makanan. Lebih-lebih lagi kita digalakkan bersedekah di bulan Ramadhan, dapat pahala. Tergelak kami semua. Cerdik dan pintar la anak mama ini.
 
Sedapnya... Aunty Ja belanja 



Esoknya, ketika bersahur Rizqin nakkan lasagnanya. Hai, kan dah habis makan malam tadi. Suka benar Rizqin dengan keju, apa tidaknya dari dalam perut mama lagi Rizqin dah makan keju.

Kegemaran Rizqin LASAGNA...

Wednesday 1 August 2012

Si KIKO Yayah vs Si JERSEY Mama...

Syifa amat meminati brand KIKO. Walaupun berada di rumah, baju KIKO / BABY KIKO sahaja yang mahu dipakainya. Sudahnya baju yang dikhaskan untuk berjalan telah dipakai di rumah. Itulah baju untuk berjalan dan itu jugalah baju di rumah. Syifa, Syifa... Mungkin sebab pakai cantik sangat bila berada di rumah, Tok Din jiran kami yang baik hati akan menyapa, Syifa nak pergi jalan ke?. Nak pergi orang kahwin, jawab Syifa selamba.

Hanya KIKO kesukaan Syifa. Di belek-belek bajunya melihatkan tulisan warna-warni KIKO. Sebabnya si kecil yayah ini tahu baju KIKO branded dan dibeli di SogoKL. Bertambah seronok lagi, baju KIKO turut digayakan oleh anak-anak selebriti Fesyenista Baby KIKO. Memang cantik dan comel melihat Syifa menggayakan top to toe semuanya brand KIKO. Headband, gaun, jeans, skirt, tshirt, kemeja, panties, stokin dan kasut semuanya set KIKO.  Begitu juga dengan Rizqin yang turut mengenakan brand KIKO tetapi hanya untuk dipakai berjalan sahaja. Bila dah smart, kacak dan bergaya, ayat yang terpacul keluar dari bibir mama...kitakan anak orang kaya. (Astaghfirullahhal’azim riaknya). Dan selalunya yayah akan betulkan, anak orang senang. Alhamdulillah syukur.

Kini, apabila umur si KIKO yayah menjangkau 1 tahun 8 bulan, baju girl-girl ni dia dah tak mahu pakai. Dia lebih suka pakai baju abangnya. Hanya baju abang sahaja yang dia mahu. Bila bergaya, cantik tak disebutnya, encem-encem yang sering disebut. Apa saja baju abangnya, semua dia nak pakai. Kadang-kadang sampai berlapis-lapis baju dipakainya. Encem, encem. 

Bila mama kata Syifa cantik macam Mei Mei siri Upin & Ipin, dia akan kata Mail, Mail. Nak jadi macam Mail ke? Tak nak cantik macam Mei Mei, soal mama? Mail juga tetap disebutnya. Untuk elakkan mereka berebut, lepas mandi, masa nak pakai baju, Syifa kena bersiap dulu. Sorokkan dulu baju Rizqin dan kemudian baru Rizqin boleh berbaju.  Terutamanya JERSEY bola yang Pak Su beli untuk Rizqin, sibuk direbutnya. Nanti Acu beli untuk Syifa, janji Pak Su. Tak mahunya, tetap berkeras mahukan jersey abangnya, kalau tak Syifa mengamuk nanti. Baju jersey yang sering menjadi rebutan Syifa : 



 KIKO yayah vs JERSEY mama
Queens Park Rangers
Manchester United
Chelsea
Malaysia

Monday 23 July 2012

Rasai JJCM McDonald’s Chicken Foldover

McDonald’s menawarkan Beli 1 Percuma 1 Chicken Foldover bermula 12 hingga 25 Julai 2012. Hanya print kupon dari internet dan tebus di restoran McDonald’s kegemaran anda. Kami juga tidak melepaskan peluang ini. Yayah 1 kupon dan mama 1 kupon. Harga yang ditawarkan amat menarik iaitu hanya RM 9.10 termasuk tax. Menariknya, selain dari print, save gambar di atas ke dalam handphone dan tunjukkan di kaunter untuk penebusan.

Kenyangnya, kata Rizqin. Dimakan tanpa sos cili juga sedap kerana mayonisnya banyak. Yummy, yummy, yummy. Sedapnya... sebab sedap sangat 6 kupon telah ditebus.

 
BIL.
SYARAT-SYARAT
1.
Sah dengan kupon telefon bimbit, cetak hitam putih, fotokopi atau berwarna
2.
Hanya untuk ala-carte (tidak beserta minuman dan kentang goreng)
3.
Satu kupon penebusan hanya untuk satu penebusan / 1 resit
4.
Sah dari 12 Julai hingga 25 Julai 2012
5.
Sah untuk semua restoran McDonald’s kecuali di Genting, dan di lapangan terbang serta McDelivery
6.
Sah sehingga kehabisan stok. Cepat sebelum terlambat!
7.
McDonald’s berhak untuk menukar produk lain tanpa notis


Sunday 22 July 2012

Jalan-Jalan Ke I-City - macam baby dulu!

Berulang-ulang kali Rizqin berkata pada yayah supaya membawanya ke I-City macam baby dulu. Rizqin nak pergi I-City, macam baby dulu... esok yayah bawa, esok yayah bawa, kata Rizqin. Semasa Rizqin masih baby, kami pernah jalan-jalan ke I-City Shah Alam. Memori si anak kecil ini amat kuat, dia masih ingat kenangan di I-City. Setiap pagi bila kami melalui jalan Selayang, lampu-lampu I-City yang dipasang di Batu Caves membuatkan Rizqin kerap memujuk yayah untuk membawanya ke I-City macam baby dulu. Ok, Sabtu ini kita pergi, janji yayah.

Gembira si anak bukan kepalang apabila janji ke I-City ditunaikan. Maka pada hari Sabtu bersamaan 14 Julai 2012, jam 8.00 malam kami sekeluarga telah jalan-jalan ke I-City Shah Alam. Kebetulan Opah, atok dan Pak Su juga ke Shah Alam bagi menghadiri majlis perkahwinan anak kawan opah di Kelab Shah Alam. 

I-City Shah Alam

Tahun 2010 kami ke I-City bayaran masuknya adalah Percuma. Tapi kini, bayaran masuk yang dikenakan ialah RM 10.00 untuk satu kenderaan. Dari simpang lagi Rizqin seronok melihat lampu warna warni di atas bukit. I-City! I-City jerit Rizqin. Syifa masih tidur lagi. Jeritan Rizqin membuatkan Syifa bangun dari tidurnya. Bulat matanya melihat lampu I-City. I-City! I-City jerit Syifa. 

Ramai sungguh orang di I-City. Banyak perubahan yang terdapat diantaranya kuda funfair dua tingkat, giant wheel, cable car dan macam-macam lagi permainan disediakan. Seronok Rizqin melihat bunga matahari berlampu, dipegang dengan hujung jarinya. Ini karen, ini karen, adik jangan usik. Singgah di kedai beli permainan lampu Angry Bird seorang satu. Seronok mereka dapat permainan berputar dan berbunyi-bunyi. Riang!

Opah, atok dan Pak Su telah selesai makan kenduri turut datang ke I-City. Rizqin berjalan-jalan dengan yayahnya dan tiba-tiba dia berhenti. Eh, Opah? Opah ada kat sini? Terkejut Rizqin melihatkan mereka semua datang ke I-City. Seronok bukan kepalang dibuatnya. Jam 11.30 malam kami pulang dan singgah di Seksyen 2, beli burger 4 biji. Dalam jam 1.00 pagi kami sampai di rumah. Letih. 


Friday 20 July 2012

Gula-gula 8 dan Chupa Chups Malaysia


Syifa cukup gemarkan gula-gula lapan. Kalau pergi ke kedai diminta belikannya gula-gula lapan. Nak gula-gula lapan, nak gula-gula lapan! jerit Syifa sekiranya permintaannya tidak ditunaikan. 

Selalunya Syifa akan beli dua keping gula-gula lapan. Satu untuknya dan satu lagi untuk abangnya Rizqin. Bagus juga gula-gula lapan ni, budak-budak belajar mengenal warna-warna yang ada pada gula-gula ini. Merah, biru, hijau dan kuning. Red, blue, green and yellow. Sekejap saja gula-gula lapan ini habis dimakannya. Yang last, kena tunjuk dan cakap... ini last tau, ini last tau, habis dah, habis dah. FINISH.

 Jika pergi ke stesyen minyak, Syifa mesti nak ikut yayahnya masuk ke dalam kedai. Kalau ditinggalkannya, dia akan menangis meraung di dalam kereta. Di kaunter pembayaran, matanya akan meliar mencari gula-gula chupa chups Malaysia. Dia akan jerit sekiranya tidak dibeli.

Walau pun dibelikan dua gula-gula chupa chups Malaysia perisa yang sama, dia masih berebut mahukan chupa chups abangnya. Kalau abangnya tak beri, dia kejar abangnya dan guling-gulingkan badannya di lantai minta perhatian. Dikuatkan bunyi tangisannya dan semua orang akan ikutkan kehendaknya. Beralah lah si abang setiap kali adiknya berebut sesuatu dengannya.


Wednesday 18 July 2012

Hoorey...Balik Kampung Sabak Bernam

Pada hari Sabtu bersamaan 7 Julai 2012, kawan sepejabat yayah iaitu Wak Musa telah mengadakan majlis pertunangan puteri sulungnya di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Kawan yayah ini baru sahaja berpencen dan telah menetap di kampung.

Meriah sungguh kendurinya ada lamb chop, satay 1500 cucuk, sup tulang kaw-kaw, nasi putih, gulai kari daging, gulai lemak nenas ikan masin, ayam goreng berempah, sayur campur dan buah-buahan tempatan. Memang tak rugi datang jauh-jauh, sedap pulak tu masak sendiri katanya, bersama orang kampung. Kawan yayah siap simpankan kambing bakar special untuk yayah. Atok juga ikut kami kerana hendak ke rumah adik-beradik atok di Sabak Bernam.


BIL

Perkara yang MESTI di lakukan bila balik kampung Sabak Bernam :-

1.
Singgah di rumah Angah Chil (kakak atok) – tokey pisang. Bawa balik pisang banyak-banyak, pisang salai, pisang rastali, pisang awak, pisang abu, pisang lemak manis kesukaan Syifa, keladi, sayur kampung, ulam-ulaman, tempe, pekasam @  wadik banjar, kelapa dan sebagainya.
2.
Singgah di rumah adik-beradik atok (Angah Kamaruddin di Sungai Air Tawar dan Angah Piah di Sungai Nibong). Rumah Angah Kamaruddin ada parit, Rizqin dan Syifa suka bila kereta lalu atas titi.
3.
Singgah rumah saudara-mara di bendang Parit 3, Parit 10, Parit 11 dan Parit 6. Yayah suka lihat sawah padi dan burung bangau di tepi sawah.  
4.
Beli belacan kampung di Sungai Air Tawar. Harga satu carton air botol pelbagai perisa (1.5 liter) amat murah di sini. Biskut raya pun murah terutamanya biskut Mazola.
5.
Jalan-jalan di Pantai Bagan Nakhoda Omar – tengok bot, kapal, layang-layang dan orang memancing ikan. Anak-anak suka baling batu, melihat air berkocak di tepi pantai.
6.
Makan Mee Udang Zaiton di BNO.. udang FRESH, udang banyak pulak tu..SEDAP! Semua suka makan mee udang, siap bungkus untuk dibawa pulang.
7.
Beli ikan, udang FRESH hasil tangkapan laut di Sungai Haji Dorani dalam kuantiti yang banyak. Siap bawa ice box lagi. Ikan senangin, gelama, mayong, selar, kembung SUPERB.
8.
Beli kuah pecal jawa di Sungai Haji Dorani. Makan dengan sayur kangkung, taugeh, tempe, tauhu sangat enak.
9.
Berhenti di tepi jalan Sekinchan beli mangga 1kg RM 10.00. MAHAL. Di KL mangga 3 kilo baru RM 10.00 MURAH. (taubat tak akan singgah lagi )
10.
Membeli belah di Pekan Sungai Besar atau di Tanjung Karang. Memang BERBALOI. Pasaraya Ekonomi, Arked Man dan sebagainya. Baju-baju, kasut murah disini.

Tuesday 17 July 2012

Rasai JJCM Flaming Steamboat Danau Kota

Pada hari Jumaat bersamaan 6 Julai 2012, kami sekeluarga telah Jalan-Jalan Cari Makan pekena STEAMBOAT. Wah, wah, wah ! Selama ini lokasi steamboat yang menjadi pilihan kami sekeluarga ialah di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa. Rasanya dah empat kali kami ke sini. Tapi kali ini kami mengubah selera ke Flaming Steamboat, Danau Kota la pulak. Oleh kerana ramai blogger yang menulis restoran ini penuh sesak, sejak hari Rabu lagi Aunty Ja telah membuat tempahan. Makan punya pasal, excited sungguh!  Seronok, seronok, seronok...pinjam ayat Rizqin.

Seperti biasa, selepas selesai bersembahyang Maghrib di rumah atok barulah kami sekeluarga pergi dengan menaiki dua buah kereta. Anak-anak biasalah nak naik kereta Pak Su beramai-ramai, tak mahu naik kereta yayah. Bila kereta mereka di depan, sibuk anak-anak melambai-lambai kereta kami di belakang. Bye-bye mama, bye-bue yayah. Awal-awal lagi telah diingatkan jangan makan banyak-banyak di siang hari, sebab malam nanti kita semua nak makan puas-puas. Perut memang lapar sangat, maklumlah mama hanya makan sarapan pagi sahaja. Lain la yayah yang dah makan macam-macam sepanjang hari, maklumlah orang berkursus. Pagi, tengahari, minum petang semua disediakan. 

Sesampai kami di restoran dalam jam 8.30 malam, maklumkan di kaunter dan sistemnya bayar dulu baru makan. Enam orang  dewasa berjumlah RM169.00 dan anak-anak FREE. Maklumlah bawah umur 4 tahun. Alamak, tempat duduknya di sebelah restoran la. Kena aktif bangun, keluar masuk ambil makanan ni. Tak apa, tak apa... makan punya pasal.

Perghh... bulat mata mama melihatkan banyak sungguh menu yang dihidangkan. Dimeja telah tersedia double soup :  iaitu tomyam dan chicken sup x 2 set. Dua set tu…kuah tomyam dan chicken sup memang memikat selera. Marvelous! 







 Taraa... ini lah dia 
Double soup: Tomyam dan Chicken Sup x 2 set tau... 









Lebih 150 hidangan yang sememangnya sedap-sedap belaka. Terdapat juga hidangan laut yang tak pernah dirasa dan dilihat. Anak-anak makan semangkuk aiskrim dan nasi goreng. Rizqin duduk di kerusi baby macam Boss dan Syifa pula di sebelahnya macam orang kanan Boss. Sedap, sedap, habis semangkuk aiskrim. Tambah, tambah, tambah arah Rizqin pada Aunty Ja. Comot mulut mereka makan aiskrim.  Habis, tambah, habis, tambah, bertambah-tambah. Ini sedap! ambil lagi. Pendek kata, keluar masuk, keluar masuk kami menambah makanan. RM 169.00 mestilah makan kenyang-kenyang, puas-puas kalau tak terasa rugi nanti.


Seafood : crabs, prawns, scallops, mussels, razor clams, lala clams, fish fillet, dory fish, oyster, octopus, scallop meat and many more! Gambar sebelah udang tu favourite mama - 8 ketul mama makan. sedap!

 
 
Finger foods : yam roll, golden crabsticks, chicken nugget, french fries, curry samosa and potato wedges.

Fresh steamboat ingredients : fresh fishball, crab sticks, smiley fish, fish noodle, seaweed crab roll, konyaku roll, crab claw, crab fish roll and banyak lagi laa.. 

Fresh vegetable : oyster mushroom, golden mushroom, green vegetables and many more.



 



 
Pre cooked foods & drinks : rendang chicken, fried rice, 9 types of sauces, ice blended, coffee & tea, leng chee kang.... free flow of drinks and dessert! yummy..

Dessert : 2 choc fountains(white & dark choc), marshmallows, biscuit sticks, twister dips, ais kacang ABC, ice cream(12 flavors of ice cream + 5 toppings), fruits punch, jellies and cookies..


Makanan lautnya memang fresh. Udang besar-besar dan merah-merah. Banyak kami semua makan udang. Esok pagi nak balik kampung, kami nak pekena mee udang BNO pula.

Wednesday 6 June 2012

Kasih sayang abang dan adik…

Pernah suatu ketika, kami semua dah masuk dalam kereta. Hanya Syifa sahaja yang masih berada di dalam rumah, nyenyak tidur di depan TV. Lagipun, memang sengaja kami tak angkat Syifa, tak apa la biar dia puas tidur, nanti angkat terus pindahkan dalam kereta. Bila semua dah ada dalam kereta, tiba-tiba Rizqin bersuara, mana Nur Syifa? Mana Nur Syifa? Yayah, mana Nur Syifa? Ke depan, ke belakang dia mencari Nur Syifa. Adik mana? Panik sungguh mukanya mencari Nur Syifa.

Biar je la adik tu, sakat mama. Tak nak, yayah ambil adik! desak Rizqin. Ambil adik, ambil adik! Mata Rizqin dah nak menangis. Apa lagi, kami pun menyakat la Rizqin. Best juga menyakat budak-budak ni. Abang, cepat la start kereta, gesa mama. Bergegas yayah tutup pintu rumah, masuk dalam kereta dan start enjin kereta. Menangis la Rizqin… Yayah, ambil la adik… ambil, ambil! diarahnya yayah supaya segera ambil Nur Syifa.

Rizqin sayang adik ke? tanya yayah. Sayang, kata Rizqin sambil menangis tersedu-sedu. Kadang-kadang kami sengaja kata pada Rizqin, tinggal je la adik kat rumah atok. Tak nak, nak bawa adik balik. Yayah, ambil adik! ambil adik! ditunjuk-tunjuk dengan jarinya. Sepanjang waktu mama mendukung Nur Syifa dan kami berjalan beriringan menuju ke kereta, Rizqin menoleh ke belakang dan dia pastikan adiknya ikut balik dan masuk ke dalam kereta.

Rizqin sangat sayangkan Nur Syifa. Setiap masa dia mahu Nur Syifa sentiasa ada bersama kami. Tak mahu berpisah dari Nur Syifa. Setiap masa dia ingatkan Nur syifa. Tapi, Nur Syifa belum tentu ingatkan Rizqin. Sebabnya bila Nur Syifa dapat naik kereta, jalan-jalan beli gula-gula lapan di kedai bersama yayah, dia tak herankan abangnya Rizqin yang tinggal di rumah. Walau pun Rizqin tak ikut sebab asyik sangat menonton Oggy and Cockroaches, Nur Syifa tetap bawa pulang dua keping gula-gula lapan untuk abangnya. Abang, nah!. Terima kasih, kata Rizqin. 

Begitulah Rizqin yang amat sayangkan adiknya, Nur Syifa. Dan.. begitu jugalah Nur Syifa yang kadang-kadang nampak macam tak heran akan abangnya, tetapi sebenarnya dia sayangkan Rizqin. Kalau tak masakan dia suka sangat cium rambut Rizqin dan terus digigitnya dahi Rizqin dengan gigi kapaknya. Berlekuk...Apa lagi menangis, menjerit la Rizqin. Sayang.. abang, sayang abang, kata Syifa.

Monday 28 May 2012

Rasai JJCM seafood lasagna Pizza Hut...

Pada malam Ahad bersamaan 27 Mei 2012, selepas solat maghrib kami semua jalan-jalan cari makan ke Pizza Hut, Rawang. Bayangkan jarak rumah ke pekan Rawang ialah 12 kilometer sehala, tiada halangan yayah untuk mengotakan janjinya semata-mata hanya hendak membeli lasagna sahaja. Sebut betul-betul lazaniaaa, dalam bahasa melayu. Sebenarnya, malam semalamnya masak sekotak instant lasagna. Bekasnya kecil, tak puas makan beramai-ramai. Sedap mama, sedap! ada keju, kata Rizqin dan Syifa. 

Jadi, malamnya kami ke Pizza Hut beli dua kotak Seafood Lasagna. Bungkus satu untuk mama dan yayah, dan satu lagi untuk Rizqin dan Syifa. Jika dibandingkan Pizza Hut Seafood Lasagna dan Dominos Chicken Lasagna, kedua-dua produk ini masing-masing ada kelebihan dan rasa tersendiri. Dominos Chicken Lasagna saiznya lebih panjang dan berharga RM 10.80 sahaja, manakala Pizza Hut Seafood Lasagna pula bersaiz empat segi  dan berharga RM 11.20 dan servis tax RM 1.35. 

Seafood Lasagna Pizza Hut dipadatkan dengan kepingan pasta layered dengan campuran udang, bawang merah, sotong, ikan dan dilimpahi dengan creamy Mornay sauce. Manakala Dominos chicken lasagna,  kepingan pasta layered lebih tersusun dan padat dengan ayam cincang dan dilimpahi dengan keju. Ok, mari kita lihat perbezaannya...






Seafood Lasagna Pizza Hut 






Kedua-keduanya membuat kejur air liur bila menjamahnya.. sedap




Dominos Chicken Lasagna





  



Malam itu, puas kami makan lasagna di Taman Syifa. Sampai comot mulut Syifa  makan creamy Mornay sauce. Bila tanya Rizqin, makan apa tadi? Lasagna, sedap mama, sedap.

Sunday 27 May 2012

Landskap titik peluh kami – Part 3


Agaknya bunga apa yang berkenan dihati? (Baca ini Part2) Maka, kami semua ronda-ronda mencari nursery di sekitar Serendah. Nak ke nursery Sungai Buloh, jauh sangat pulak, kena tol lagi. Di nursery yayah berkenan pada bunga jasmine. Daunnya yang hijau merimbun ditambah pula dengan penuhan bunga-bunga putih yang cantik. Jasmine, ok jugak tu. Yang penting bunga yang akan kita tanam nanti mestilah dari spesies yang tahan lasak, kerap berbunga dan mudah dijaga. 

Segera kami tanam barisan empat pokok bunga jasmine dan diselang-selangi dengan batu-batu sungai yang disusun membentuk segitiga. Dahulu kami tak berani nak menyusun batu-batu sungai di Taman Syifa ini. Anak-anak masih belum mengerti lagi, takut dibalingnya batu ke rumah jiran sebelah atau terkena cermin kereta, lagi parah dibuatnya. Tapi, bila dilihat pada barisan batu-batu sungai yang telah ditanam di Taman Syafi, kami yakin anak-anak tak akan buat begitu. Hanya sekadar mereka menyelerakkan batu-batu itu akibat sering dipijak-pijak. Kami juga turut membeli pokok pasuan Dracena Marginata Tricolor yang sangat cantik tegak berdiri. Pokoknya yang tajam bewarna-warni membuatkan landskap di Taman Syifa bertambah berseri-seri.

Itu belum lagi kami menyimpan hasrat membeli pokok pasuan Dracaena Draco yang sering dihias di dalam pasu hitam berkilat di hotel lima bintang. Memang highclass bila dah ada pokok ini nanti. Yayah siap puji kata landskap yang mama hias, cantik. Mama kata, kalau begitu lepas ni nak mohon tukar jabatan la, nak ke Jabatan Landskap. Boleh asah skill menanam bunga dan bina landskap.

Friday 25 May 2012

Landskap Titik Peluh Kami – Part 2

Taman Syifa kini berubah wajah. Totally difference! (Baca ini Part1). Pokok Coleus tiada lagi di taman ini. Masa beli dulu, lupa pulak nak google pasal Coleus ini. Rupa-rupanya ia pokok semusim yang hanya bertahan selama tiga bulan sahaja dan tidak tahan lasak. Patut la pun, harganya murah.

Coleus sememangnya species yang anggun ditanam di dalam pasu atau dalam satu barisan memanjang untuk hiasan tepi rumah. Rupa-rupanya tanpa disedari, ada juga jiran-jiran di Panorama Alam Tropika ini yang tertarik hati melihat sembilan barisan pokok Coleus yang subur mewarna di Taman Syifa. Begitu menyerlah gabungan warna merah dan kuning kehijauannya. Bila petang-petang hujung minggu kami bawa anak-anak bersiar-siar di sekitar taman perumahan dan berkesempatan berkenalan dengan jiran-jiran baru. Di sapa jiran 'Rumah nombor berapa? Ooh, rumah yang ada pokok ati-ati tu ya? Cantik dan subur mekar la pokok tu. Geram saya tengok!, kata mereka. Tengok  la siapa yang tanam... 

Pokok Coleus ini memang mekar dan cepat mengeluarkan bunga. Selepas mengeluarkan bunga kecil dalam satu jambak adalah disyorkan dahan bunganya dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru.  Setelah berbunga, proses mengeluarkan daun muda berhenti yang lazimnya tidak lagi menampakkan serinya. Ia memerlukan cahaya penuh, tanah peroi, keperluan air sederhana tetapi tidak tahan kemarau.

Oleh kerana pokok ini tidak tahan lasak, maka mama dan yayah bercadang untuk menukar pokok Coleus dengan pokok yang baru. Agak-agaknya pokok apa yang berkenan di hati ya?... Jom kita GOOGLE.

Thursday 24 May 2012

Bila katak memanggil hujan…

Pada petang Sabtu bersamaan 12 Mei 2012, hujan turun dengan lebatnya. Ye, ye hujan! hujan! Inilah masa yang dinanti-nantikan, main hujan! Tanggal baju, seluar, pampers, anak-anak lari berbogel dalam hujan, seronok... sangat. 

Mereka berlari-lari di sekeliling Taman Syafi, buat kapal dari kotak, percik-percik air.  Ada air bertakung, anak-anak siap berenang lagi. Lama sangat mereka bermain hujan sampai pucat bibir dan kecut kaki dan tangannya. Mama dan yayah juga tidak lepaskan peluang main hujan, seronok kami berdua berteduh di bawah pokok  pisang lemak manis. Dah macam klip video lagu Amalina dan Iwan - Memori Daun Pisang. 

Saksikanlah...
Saksikan olehmu wahai sang hujan
Aku yang telah jatuh
Dilanda... asmara...
 

Kenangan malam minggu waktu jalan-jalan 
Berdua jalan kaki saat turun hujan 
Basah baju kita basah hati kita 
Mesranya berpayung daun pisang...

Kini, bila hujan turun je... anak-anak merengek nak mandi hujan, nak mandi hujan... Bila hari cuti kita mandi hujan, ok.  Kalau hari biasa kita mandi shower je.. lagi pun dah macam air hujan juga kan? Mujur mereka faham...