Tuesday 13 March 2012

Landskap titik peluh kami...

Taman Syifa merupakan sebuah taman mini buat kami sekeluarga. Diberi nama bersempena dengan nama anak perempuan kesayangan kami, Nur Syifa Rizqin, Di taman ini dihamparkan rumput karpet jenis philiphine yang subur menghijau. Dibarisi dengan landskap batu refleksologi yang sesuai untuk urut kaki. Sebenarnya nak elak dari pijak rumput karpet ni. Marah yayah kalau sesiapa yang cuba-cuba atau sengaja memijak rumput karpet ni. Dipagari  dan dibarisi dengan Loropetalum chinense var. rubrum,  False Heather, Elfin Herb dan Solenostemon atau Coleus… Oh, hanya dua tiga pokok je, masih tak cukup pokok bunga lagi ni. Nak kena pergi nursery ni. Dan apabila menjelangnya malam, taman ini akan diterangi dengan lampu laman dan lampu pagar yang cukup terang benderang jadinya. Bersandarlah kami pada bench yang dapat merehatkan kami sekeluarga sambil menghirup udara segar Panorama Alam Tropika.

Taman Syafi pula merupakan sebuah taman yang sederhana besar. Juga diberi nama bersempena anak lelaki kesayangan kami, Muhammad Syafi Rizqin. Berbeza dengan Taman Syifa, Taman Syafi ini dihamparkan rumput jenis pearl yang amat subur menghijau. Dibarisi setapak demi setapak pemijak kayu yang di kelilingi melengkok-lengkok dengan batu-batu sungai. Anak-anak paling suka susun batu sungai bersama-sama. Ada pokok pisang lemak manis, pokok cili dan pokok limau. Masih tak banyak lagi ni. Sah, memang nak kena pergi nursery. Berbudi kepada tanah akan mendapat hasilnya, Insyaallah. Kami susun aturkan seperti dam batu-batu refleksologi dan pebble wash agar nampak lebih menarik dan kreatif. Ditambah pula dengan mushroom yang kreatif hasil sentuhan yayah. Dihujung minggu kami sekeluarga akan bersarapan dan minum petang disini. Duduk di kerusi taman menghirup kopi panas dan kuih cekodok sambil bersembang, mendengar kicauan burung dan tiba-tiba... mat-mat kool, mat kool kawanku, mari kita ikut mat kool, main-main selalu, syoknya-syoknya ada mat kool. Jom kita pergi. Berlari-lari la si anak meninjau-ninjau motor si penjual aiskrim.  

Tanah sekangkang kera di luar rumah pula turut kami manfaatkan dengan dihiasi Costus spicatus/ lipstick plant, Loropetalum chinense var. rubrum dan bunga daun merah.

Alhamdulillah, Taman Syifa dan Taman Syafi dibina dari cetusan idea mama dan yayah. Bermula dengan pemilihan pokok bunga, menanam, membaja, menjaga, menyiram, semuanya kami lakukan bersama. Setiap aktiviti yang kami lakukan, kami libatkan anak-anak agar mereka tahu pentingnya kerjasama, sayangi bumi dan rasa cinta pada ciptaan dan keesaan Allah swt.


No comments:

Post a Comment