Wednesday 14 March 2012

Terokai dunia serangga

Ha? ulat gonggok! ulat gonggok! Ada yang kecil, ada yang besar, ada yang panjang dan ada yang pendek. Meniarapla dua beradik tu.  Disentuhnya ulat gonggok, maka dengan segera ulat gonggok bergulung membentuk satu bulatan untuk beberapa ketika. Kemudian ia akan membuka semula dan bergerak dengan pantas. Sungguh mereka kagum dengan si ulat gonggok ini. Disentuh, bergulung, disentuh, bergulung. Terlalu asyik mereka memerhatikan si ulat gonggok yang merayap di Taman Syifa. Dipijaknya ulat gonggok. Dipenyek-penyeknya sampai pecah perut ulat itu dibuatnya. Adakalanya sampai putus kepala dari badannya. Pantang nampak ulat gonggok merayap, habis diselusurinya. Ketawa dan bertepuk tangan dua beradik ini. Seronoknya, puas hati! Dibaunya tangan. Busuk, busuk! kata Syifa… Pandai anak mama bezakan wangi dan busuk ya. Ulat gonggok banyak kaki, bergerak laju tanpa henti, jika disentuh bergulung sendiri, daun dan tanah makanan dicari. Jika salah satu kakinya patah atau cedera maka perjalanannya akan terencat dan tidak laju lagi. Oooo begitulah nasib si ulat gonggok..

Ha, apa pula tu? lipas keluar, lipas keluar. Mama lipas! Terus Rizqin kejar. Dipijak-pijaknya. Kasi mati. Pantang ada lipas. Mesti cepat-cepat dibunuhnya. Mama tak suka lipas. Nanti habis kotor rumah kita. Kalau nampak lipas, cepat-cepat penyekkan. Oh.. darah lipas warna putih. Walau pun kepala lipas dah putus, lipas boleh hidup tiga hingga empat minggu. Kebanyakkan lipas boleh terbang tapi bukan kesemuanya. Kalau lipas patah kaki, kaki itu boleh tumbuh semula. Ooooo.. tak sama macam ulat gonggok.

Mama, mama, cicak! Cicak mama. Yayah! Yayah, cicak! Pantang sungguh kalau cicak masuk dalam rumah. Apalagi, yayah seorang yang hebat. Ditangkapnya cicak dengan tangannya. Dibuangnya keluar. Kalau cicak tu melekat di dinding tinggi. Cepat-cepat ambil penyapu. Dibunuhnya. Mati. Dapat pahala bunuh cicak. Kalau tak dapat tangkap, dicari, diselongkar sampai jumpa. Baru semua senang hati. Cicak dah mati.

Kalau nampak si kumbang besar, anak-anak mesti sebut “Besarnya kumbang”. Sebut pasal kumbang pasti teringat pada bunga. Kumbang dengan bunga memang tidak dapat dipisahkan. Saling memerlukan antara satu sama lain. Kumbang perlukan bunga untuk mendapatkan madu, bunga pula perlukan kumbang datang menyeri dan memindahkan debunga jantan kepada debunga betina. Oooo…macam tu. Anak-anak memang suka meneroka dan mengkaji. Mereka belajar menerusi imaginasi. Imaginasi kanak-kanak kadang-kadang melangkaui jangkaan. Berikan lah mereka sebuah kotak kosong. Lihat, mereka akan duduk di dalam kotak dan memandu umpama berada dalam sebuah kereta. Dijadikan kotak sebagai rumah untuk berlindung atau kedai runcit untuk berjual. Juga tempat untuk menyorok atau tidur di dalamnya.

Kanak-kanak akan cepat berimaginasi apabila diceritakan mengapa sesuatu fenomena itu berlaku, terutama fenomena yang dekat dengan mereka. Seusia Rizqin (hampir menginjak ke tiga tahun) banyak soalan yang ditanya. Apa? Siapa? Mengapa? Bagaimana? Dimana?. kerana pada usia ini, fikiran mereka akan mula berkembang dan ingin mengetahui dan memahami tentang sesuatu perkara. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menceritakan sesuatu itu dengan kaedah seringkas yang boleh, benar dan logik, kerana ini adalah penerimaan pertama kanak-kanak. Jangan pula dimarahkan apabila si anak banyak mengajukan soalan tentang sesuatu perkara. Perkara ini sebenarnya, secara tidak langsung akan membantutkan daya pemahaman anak-anak terhadap sesuatu perkara. Pujilah mereka pada setiap tindakan yang betul mereka lakukan. Dan tegurlah mereka secara bijaksana terhadap perkara yang salah. Pandai tak? Pandai tak? Tanya si anak. Anak mama memang lah pandai.

Rasulullah s.a.w. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:
Tahap pertama: 
Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak  bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.
Tahap kedua:  
Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.
Tahap ketiga: 
Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
Tahap keempat: 
Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.


No comments:

Post a Comment