Tuesday 8 May 2012

Peluang jangan dilepaskan...

Biasanya anak-anak akan mendongak ke atas melihat keretapi menjalar di atas landasan. Keretapi, keretapi! Mama, mama, keretapi!, jerit Rizqin. Melompat-lompat Syifa di dalam kereta melihat keretapi. Mereka belum pernah merasai keseronokkan menaiki keretapi. Hanya sekadar melihat dari jauh sahaja. Maka, pada hari Ahad bersamaan 18 Mac 2012 yang lepas, sejurus selepas hadir ke majlis perkahwinan rakan sekerja mama di Bandar Baru Sentul, kami tidak melepaskan peluang untuk menaiki LRT. Almaklumlah, lokasi dewan perkahwinannya bersebelahan dengan Stesen LRT Sentul Timur. Maka tiada alasan untuk berkata TIDAK atau LAIN KALI LA KITA NAIK.  

Sememangnya telah lama mama merancang untuk membawa anak-anak ronda-ronda naik keretapi. Tetapi peluang sebegini sukar untuk ditunaikan kerana pada hujung minggu yayah keberatan untuk turun ke KL. Maklumlah kami berdua bekerja di KL, menetap pula di Selangor. Setiap hari kami berempat keluar rumah jam 6.15 pagi dan tiba di rumah jam 7.50 malam, itu pun kira cepatla kalau ikut Dem Ulu Yam. Tapi kalau ikut Rawang, jangan kata 8.00 malam, dah nak isyak baru la sampai rumah. Rawang semakin teruk dengan kesesakan lalulintasnya. Baru je nak naik bukit Amansiara Towhouse, Selayang kereta dah panjang berderet-deret, dah la slow macam kura-kura, lepas tu dua lane dah jadi tiga empat lane. Mana tak traffic jam?

Waktu pagi bila nak keluar rumah, Tok Din jiran kami yang baik hati juga turut keluar rumah seawal pagi, dan akan melihat kami mendukung anak-anak masuk ke dalam kereta dan berkata Syifa pergi kerja ke? Pagi-pagi kami dah berangkut. Kata orang subuh-subuh lagi dah keluar, malam baru balik. Jarak perjalanan pergi dan balik dari rumah kami Panorama Alam Tropika ke Kuala Lumpur lebih kurang 90 km sehari / 100 km sehari. Jadi, hujung minggu kami lebih selesa berehat di rumah, meluangkan masa seharian bersama anak-anak atau berjalan-jalan di sekitar Batang Kali sahaja. Maka peluang turun ke KL di hari Ahad ini seharusnya tidak boleh dilepaskan.

Parking kereta RM 3.00 di LRT Sentul. Masa naik escalator pun anak-anak dah tak boleh nak duduk diam, sampai di mesin beli tiket berharga RM 1.20 dewasa. Tiba di Stesen, sengaja kami biarkan satu tren lepas dulu, kasi chance anak-anak tengok keretapi secara dekat. Wah, bukan main seronok lagi bila mereka lihat keretapi dari dekat. Lajunya, lajunya kata Rizqin. Rizqin tak sebut pun, ayat yang selalu disebutnya - sama macam Rizqin punya, sama macam Rizqin punya-. Memang la tak disebutnya sebab Rizqin belum beli keretapi mainan lagi. Asyik beli lori pasir, lori simen, lori tangki, lori trailer, kren dan kereta je. Lepas ni kita beli keretapi mainan pula, ya sayang! mama janji.

Ketika keretapi menghampiri stesen, bukan main seronok lagi mereka, melompat-lompat. Tak sabar-sabar nak masuk dalam tren. Dalam keretapi, anak-anak tak nak duduk, nak berdukung sebab nak tengok permandangan dari tingkap. Lagi pun, seat yang kosong jaraknya jauh-jauh. Tak nak berpisah la katakan, itu sebab kami tak duduk. Air Sung ai, kata Rizqin. Air Sung ai, kata Syifa. Yayah, yayah air sung ai!. Sambil menunding jari menunjuk air sungai yang mengalir deras di bawah. Dari atas tren mereka melihat air sungai, orang menjala ikan, jengkaut korek tanah di Flat Sri Terengganu, sekolah yayah MBS, bangunan tinggi rendah, pusat membeli-belah SOGO, kenderaan lalu-lalang di Pusat Bandar, orang ramai mundar-mandir dan macam-macam lagi.

Stesen berikutnya Titiwangsa, Next station Titiwangsa. Tot...tot...tot Syifa tiru bunyi pintu ditutup. Seronok merakam dan bergambar di dalam keretapi dan di stesen. Dari stesen Sentul - Titiwangsa - PWTC - Jalan Sultan Ismail dan akhirnya kami turun di stesen Bandaraya. Berpatah semula dan turun di Stesen Titiwangsa menuju ke Stesen Sentul.

Bila dah turun stesen, Syifa akan kata Naik keretapi, seronok! Terpancar  rasa seronok dan gembira pada wajah masing-masing. Sampai ke hari ini, Syifa masih menyebut Naik keretapi, seronok! Sambil melentok-lentokkan kepalanya. Naik keretapi, seronok! Diulang-ulangnya. Bila keretapi beredar, dilambai-lambainya tangan, bye-bye keretapi! kata Rizqin dan Syifa.

No comments:

Post a Comment